Pembunuh, Pendera 250 Kucing Diburu


'PEMBUNUH kucing' masih bebas bergerak dan kini dipercayai telah membunuh dan mencacatkan 250 haiwan peliharaan itu di sekitar London.

Sembilan lagi bangkai dijumpai dalam tempoh 10 hari selepas kejadian bunuh yang berlaku pada jarak lebih jauh dari serangan awal dilakukan.

Taz, seekor kucing domestik bulu pendek ditemui dalam keadaan cacat pada Isnin, selepas hilang selama hampir seminggu.

Badan Taz mengalami kesan luka mirip dengan kesan yang terdapat pada kucing lain yang ditemui mati, dipercayai dilakukan oleh individu yang sama.

Polis berkata mereka mengaitkan penemuan ini dengan siri jenayah yang sama di selatan timur.

Bangkai seekor lagi kucing, yang sebahagiannya telah reput ditemui di sebuah tempat letak kereta di Addlestone, Surrey, pada Selasa.

Pembunuh dipercayai menggoda kucing dengan mainan dan makanan pada waktu tengah malam.

Jurucakap polis Hertfordshire berkata: "Taz yang hilang sejak Selasa, 17 Oktober, mengalami beberapa kesan luka di badan. Siasatan telah dilancarkan dan bedah siasat untuk menentukan bagaimana kecederaan boleh berlaku akan dijalankan."

Inspektor Pete Edwards berkata: "Adakah anda berada di kawasan itu dan menyaksikan seseorang berkelakuan pelik, mungkin cuba memujuk kucing datang kepada mereka?

"Jika anda bimbang, kami nasihatkan supaya anda mengurung kucing pada waktu malam dan jika anda mempunyai haiwan peliharaan lain di luar rumah, saya juga menasihatkan agar ia dimasukkan ke kandang berkunci."

Polis telah mula menyiasat misteri kematian kucing merentasi selatan tenggara pada tahun 2015.

Pembunuh telah membunuh sebanyak 250 ekor kucing dan kira-kira 50 ekor musang dan ganjaran £10,000 telah ditawarkan.

Badan amal yang mengumpul bangkai-bangkai kucing ini telah mengenal pasti corak jenayah dan menyatakan bahawa suspek kini membunuh tiga atau empat ekor kucing seminggu.

Pengasas bersama kumpulan ini Tony Jenkins berkata berdasarkan pemerhatian, kucing-kucing tersebut mengalami trauma dicederakan dengan benda keras, dibiarkan seketika sebelum kepalanya dipotong.

Jenkins berkata doktor haiwan yang membuat pemeriksaan mendapati mereka terbunuh dengan cara yang sama. 

Sumber: MetroUK