'Pemilihan Semula CEC Sengaja Susahkan DAP,' Guan Eng Salahkan RoS


SETIAUSAHA Agung DAP yang belum disahkan Lim Guan Eng masih terus berdolak-dalih berhubung arahan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) agar parti itu mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC).

Ketua Menteri Pulau Pinang itu semalam kembali menyalahkan Ros sedangkan parti itu diberi tempoh yang cukup  lama untuk mengadakan pemilihan semula.

Guan Eng berkata, RoS sengaja untuk menyusahkan DAP yang kini sibuk membuat persiapan pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Beliau berkata arahan itu sudah tentunya akan menjejaskan kesiapsiagaan DAP untuk menghadapi PRU14.

"Parti rasa kerana keadaan semasa sekarang menjelang pilihan raya umum, tindakan (arahan mengadakan pemilihan semula) sedemikian bukan secara kebetulan tetapi nampaknya sengaja untuk menyusahkan parti apabila kita sedang rancak membuat persiapan dan persediaan untuk menghadapi PRU14.

"Tetapi demi membuktikan bahawa kami tidak takut mengadakan pemilihan semula walaupun menggunakan senarai nama perwakilan 2012 ataupun senarai nama perwakilan 2017, kami bersedia mengadakan pemilihan semula parti berdasarkan senarai nama perwakilan 2012," katanya pada sidang akhbar, di Pulau Pinang semalam.

DAP akur arahan RoS itu juga antara lain untuk memastikan parti tersebut tidak diharamkan atau dipadamkan pendaftaran bagi membolehkan mereka bertanding pada PRU14, kata Guan Eng.

"Itu adalah satu taktik yang kami nak elakkan supaya ia tidak berlaku. Saya harap semua wakil boleh hadir supaya kita jalankan proses ini sekali lagi berdasarkan senarai nama perwakilan 2012 supaya kita dapat memastikan parti DAP terus kekal dan dapat berdepan lawan Barisan Nasional dalam PRU14," katanya.

Semalam, Lim dalam satu sidang akhbar khas di Kuala Lumpur mengumumkan pemilihan semula CEC DAP akan diadakan 12 Nov ini di Pusat Konvensyen Ideal Shah Alam selepas dipersetujui RoS.

DAP menerima surat daripada RoS mengarahkan pada 17 Julai lepas yang meminta,  parti itu mengadakan pemilihan semula CEC berikutan jabatan berkenaan belum menerima dan mengiktiraf pemilihan parti yang dijalankan oleh DAP pada 15 Dis 2012 dan pemilihan semula pada 29 Sept 2013.- Kedahnews.com