Pemilik Anjing Serang Kanak-Kanak Dikenakan Kompaun


JOHOR BAHRU – Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) telah mengeluarkan kompaun ke atas pemilik anjing baka Labrador Retriever kerana memelihara haiwan peliharaan itu tanpa lesen.

Yang Dipertua MPBP, Shafiei Ahamad berkata, tindakan itu diambil susulan kejadian seorang kanak-kanak perempuan, Ainin Syuhadah Syrul Nizam, 2, yang diserang anjing terbabit dalam kejadian Isnin lalu seperti yang dilaporkan Kosmo! semalam.

“Hari ini (semalam) kita telah melakukan siasatan di premis perniagaan di Taman Banang Heights.

“Selepas siasatan dijalankan, pemilik anjing berkenaan mengaku bahawa anjing yang menjadi tular di laman sosial terbabit adalah miliknya dan memberitahu lesen memelihara anjing telah tamat pada 2014.

“Sehubungan itu, pihak kami telah mengeluarkan kompaun sebanyak RM500 kepada pemilik haiwan berkenaan mengikut Undang-undang Kecil Pelesenan Anjing (MPBP) 1988 kerana memelihara anjing tanpa lesen,” katanya ketika dihubungi semalam.

 Sumber: Kosmo