Peminat Bolasepak Anggap Pertemuan Kedah, JDT Sebagai Final Impian


ALOR SETAR - Kejayaan pasukan Kedah dan Johor Darul Ta'zim (JDT) mara ke pentas akhir Piala Malaysia, sememangnya dinanti-nantikan para penyokong bolasepak dari seluruh pelusuk negeri.

Pertembungan dua jagoan itu di Stadium Shah Alam 4 November depan turut dianggap sebagai final yang diidam-idamkan kerana kedua-dua pasukan mempunyai kepakaran masing-masing.

Bagi Jurulatih Kedah, Mohd Nidzam Adzha Yusof pertemuan dengan skuad Harimau Selatan tersebut memberi satu lagi cabaran getir kepada anak buahnya.

Pastinya para peminat dan pemerhati bola sepak tanah air menantikan satu perlawanan yang sengit dan mendebarkan mereka.

Bagi jurulatih Hijau Kuning tersebut, pentas akhir itu sebenarnya membuktikan bahawa pasukan yang lyak mempunyai barisan pemain tempatan dan import berkualiti, malah ia juga bakal membuktikan pasukan mana yang lebih mempunyai taktikal yang berkesan.


“Kita bermula dengan perlawanan pembukaan Piala Sumbangsih pada musim ini dengan bertemu JDT dan nampaknya Kedah sekali lagi akan berdepan pasukan tersebut pada perlawanan penutup Liga-M iaitu final Piala Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Mohd Nidzam menyatakan kebanggaan dan terharu dengan kesungguhan yangditunjukkan oleh kesemua pemain sehingga berjaya membawa pasukan ke tahap ini.

“Tahniah buat semua pemain Kedah kerana mampu membuktikan pasukan masih mampu bersaing walaupun tidak menurunkan semua tonggak utama, malah ada di antara mereka masih cedera namun masih mampu berjuang sehingga 90 minit perlawanan,” katanya.


Pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Darul Aman kelmarin, Sandro Da Silva meledak dua gol bantu Lang Merah mara ke pentas akhir dengan agregat 3-1.

Pada perlawanan tersebut, barisan pemain muda seperti Syafiq Ahmad, Farhan Roslan dan Syawal Nordin berjaya membantu pasukan dengan baik apabila mengisi kekosongan ditinggalkan ketua pasukan, Khairul Helmi Johari, Liridon Krasniqi dan Ken Ilso Larsen. - Kedahnews.com