Penagih Dadah Mengamuk Jadikan Dua Adiknya Sebagai Tebusan


KLANG - Seorang lelaki bertindak menjadikan dua orang adik kandungnya sebagai tebusan selepas dipercayai khayal dalam satu kejadian amuk di sebuah rumah di Lorong Batu Nilam 1E, Bandar Bukit Tinggi di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.40 malam itu, suspek mengamuk menggunakan sebilah pisau serta gunting sebelum mencederakan salah seorang mangsa, Roslinah Rinjal di lengan kiri.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, polis mengambil masa selama tiga jam untuk memujuk suspek sebelum berjaya ditangkap.

"Hasil siasatan mendapati suspek baharu dua minggu dibebaskan daripada penjara berhubung kesalahan dadah dan kini direman selama tiga hari bagi membantu siasatan," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Bagaimanapun, seorang lagi adiknya, Aman Syukri Rinjal, 17, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 506/324 Kanun Keseksaan.

Sumber: Kosmo