PETALING JAYA - Penceramah bebas dari Pulau Pinang, Shahul Hamid Seeni Muhammad (gambar) mengeluarkan satu kenyataan melarang umat Islam menggunakan telefon atau iPad untuk bermain permainan seperti 'Snakes and Ladders'.
Penceramah kontroversi itu dalam satu video yang tersebar baru-baru ini turut meminta umat Islam agar tidak mengunjungi salun rambut yang diusahakan oleh orang bukan Islam.
Menerusi video yang dimuat naik di laman Youtube, dia diminta untuk memberi pandangan mengenai penggunaan iPad dalam kalangan kanak-kanak sehingga mereka leka dan tidak mahu membaca al-Quran dan hadis.
Menjawab persoalan itu, Shahul berkata, ia merupakan satu dosa dan tidak boleh dibiarkan berlaku.
"Bermain permainan video, daripada apa yang saya faham adalah tidak dibenarkan. Hukumnya haram.
"Permainan dam, catur, Snake and Ladders, semua tak boleh," ujarnya.
Shahul turut melarang permainan pengumpulan aset seperti Saidina dan Monopoly serta permainan Solitaire yang terdapat pada setiap komputer kerana ia boleh menjurus ke arah perjudian.
Tambahnya lagi, hukum bagi pelajar yang menghabiskan masa bermain permainan tembak menembak di kafe siber juga adalah haram.
Menerusi video itu, Shahul turut bercakap mengenai pertaruhan dalam talian yang mengajar orang muda berjudi.
"Tak ada ke jurutera yang bagus dan boleh membuat permainan yang lebih Islamik?
"Kalau ada permainan seperti ini, pemahaman terhadap Islam pasti dapat ditingkatkan," ujarnya lagi.
Video berkenaan yang dipercayai sudah lama dirakam telah dimuat naik ke laman Youtube oleh satu akaun bernama News Feed.