WASHINGTON - Satu penemuan kesan tapak kaki berjari tiga berukuran dua kaki panjang (57 sentimeter) di tebing sungai Lesotho membuktikan bahawa sejenis dinosaur yang besar telah menjelajah bahagian selatan Afrika pada 200 juta tahun yang lalu.
Ia suatu penemuan baharu memandangkan pada masa itu kebanyakan hidupan karnivor hanya bersaiz sederhana.
Sekumpulan saintis menggambarkan dinosaur yang diberi nama Kayentapus ambrokholohali itu bersaiz 30 kaki panjang (9 meter).
“Tiada tulang fosil ditemui, namun penemuan tapak kaki sahaja telah menceritakan banyak tentang haiwan karnivor itu,” jelas mereka seperti yang dilaporkan Reuters.
Kayentapus hidup lebih awal dalam tempoh permulaan zaman Jurassic, sejurus selepas kepupusan besar-besaran spesies reptilia yang hidup dalam zaman Triassic, ketika dinosaur pertama kali direkodkan kemunculannya.
Saintis merumuskan, haiwan itu adalah theropod yang besar - iaitu dari kumpulan dinosaur karnivor berkaki dua yang kemudiannya merangkumi Tyrannosaurus dan Giganotosaurus - namun dipercayai rupa bentuknya lebih ringan.
“Penemuan kami mengesahkan hipotesis di mana theropod akan mencecah saiz yang besar pada awal evolusi mereka,” kata ahli paleontologi Fabien Knoll dari Yayasan Dinopolis di Sepanyol dan Universiti Manchester, Britain.
Tiada fosil rangka dinosaur karnivor yang begitu besar dalam sejarah awal evolusi dinosaur. Ia dipercayai hidup di benua purba Gondawana di hemisfera selatan.
Sumber: Astro Awani