Penunggang Motosikal Kanak-Kanak Maut Kemalangan Dengan Ambulans


TAIPING - Seorang kanak-kanak lelaki maut manakala tiga cedera termasuk dua pegawai perubatan dalam kemalangan melibatkan sebuah motosikal dan ambulans di Jalan Kg Senduk Tengah, dekat sini pada lewat pagi tadi.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Taiping berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian tersebut sekitar 11.11 pagi dan bergegas ke lokasi insiden.

“Sebaik sahaja tiba di lokasi, pihak BBP Taiping mendapati seorang mangsa dipercayai penunggang motosikal berusia 11 tahun, terperosok di bawah ambulans, dan telah dikeluarkan oleh orang awam.

“Kanak-kanak lelaki itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang hadir dan pembonceng motosikal iaitu seorang kanak-kanak berusia 12 turut mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. - Bernama