Penyewa Tikam Pemilik Kereta, Enggan Pulangkan Kereta Sewa Di Kuala Ketil


KUALA KETIL- Enggan memulangkan kereta Perodua Axia disewa, seorang lelaki bersama tiga lagi rakannya bertindak menikam pemilik kereta berkenaan di Taman Orkid di sini, malam semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, mangsa Muhammad Helmy Husnizam Syah Baharzam Shah berusia 30an dari Taman Kelisa Sungai Petani parah ditikam dengan pisau di bahagian dada dan perut.

Difahamkan, mangsa bersama seorang lagi rakan Muhammad Aqil Abdul Haris, 25, bertindak mengejar penyewa bersama tiga yang lain selepas terserempak dengan kereta tersebut di susur Orkid 7, Taman Orkid Kuala Ketil.

Rakan, Muhammad Yasir Amboala,27, berkata, sebelum kejadian, penyewa  tidak menjawab panggilan mangsa biarpun beberapa kali dihubungi.

"Kawan saya talefon banyak kali supaya hantar semula kereta dan jelaskan bayaran bagi tempoh masa tambahan, tapi tiada respon.

"Akhirnya, kawan saya terserempak dengan kereta tersebut ketika melalui kawasan Taman Orkid sebelum  ditikam selepas mengejar lelaki tu dan tiga rakannya," Katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam pada itu, polis mengesahkan menerima laporan kes berkenaan.

Sumber: Sinar Harian