KEPALA BATAS - Usaha memerangi penindasan terhadap masyarakat minoriti Islam Rohingya di Rakhine, Myanmar perlu dilakukan dengan cara yang betul dan membawa penyelesaian yang lebih tuntas.
Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata seseorang itu tidak boleh mencari keadilan untuk etnik berkenaan dengan cara tersendiri sehingga memberi kesan kepada keselamatan negara.
"Kita kena buat dengan cara yang betul. Sebab itu bila kita memerangi penindasan, kita memerangi dalam bentuk yang membawa kepada penyelesaian yang lebih tuntas.
"Kita tidak perangi keganasan, ekstremisme dengan satu lagi keganasan. Kita tidak boleh menjadi pengganas untuk memerangi keganasan...tak boleh, itu cara yang salah," katanya kepada Bernama selepas merasmikan penutupan program Town Hall: Wacana Kelestarian Keselamatan dan Keharmonian (Cabaran Fahaman Radikalisme dan Ekstremisme di Malaysia) peringkat Parlimen Kepala Batas di sini, pada Ahad.
Reezal Merican diminta mengulas mengenai cubaan rakyat negara ini untuk 'berjihad' di Rakhine gesaan kumpulan militan Daish.
Pada 17 Sept lepas, Ketua Penolong Pengarah Counter Terrorisme Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay mengesahkan perkara itu dan berkata ia dilihat menjadi senjata utama kumpulan militan tersebut untuk mempengaruhi orang ramai, seterusnya merekrut anggota baharu untuk kegiatan keganasan.
Reezal Merican yang juga Anggota Parlimen Kepala Batas berkata cubaan itu tidak boleh dianggap sebagai jihad kerana ia perlu dilihat dalam aspek yang lebih meluas.
"Jangan melampau. Islam tidak mengajar umatnya seperti itu. Tetapi, kita kutuk perbuatan mereka yang menindas Rohingya," katanya.
Beliau berkata rakyat perlu memahami dengan lebih mendalam mengenai kepentingan untuk mempertahan dan menentang ancaman yang boleh merobek keselamatan negara .
Menurutnya usaha menjaga keselamatan, keamanan dan keharmonian negara bukan terletak di bahu pasukan keselamatan semata-mata malah memerlukan kerjasama daripada semua pihak.
"Masyarakat perlu tahu dan peka dengan bentuk ancaman keselamatan masa kini memandangkan terdapat pelbagai jenis ancaman yang dihadapi negara termasuklah yang berbentuk subversif, espionaj, sabotaj, pengganas dan ancaman siber," katanya.- BERNAMA