ALOR SETAR - Sebanyak 127 ekor tenggiling yang disorokkan di sebuah premis di Hosba, Kubang Pasu telah diselamatkan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung, Sabtu lalu.
Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, serbuan ke atas premis tersebut mendapati semua tenggiling itu tidak memiliki dokumen yang sah daripada PERHILITAN.
Pihak PERHILITAN melakukan serbuan atas hasil maklumat awam dan dilakukan pada jam 6.30 pagi.
"Semua hidupan liar itu serta dua kereta disita untuk siasatan lanjut. Dalam serbuan itu empat lelaki, dua warga tempatan dan dua wargaThailand turut ditahan untuk membantu siasatan," katanya.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 68 (2) (a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) kerana menyimpan tenggiling iaitu hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya di bawah Jadual Kedua akta sama melebihi 20 tenggiling.
Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dihukum denda tidak kurang RM50,000 dan tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.
Sementara itu, PERHILITAN memberi amaran keras kepada mana-mana individu yang menjalankan aktiviti pemburuan haram hidupan liar agar berhenti melakukannya serta merta.
"Jabatan PERHILITAN Semenanjung Malaysia akan terus proaktif dalam mengesan dan menumpaskan pemburu haram hidupan liar di Semenanjung Malaysia dan memastikan mereka dikenakan tindakan tegas dan dihadapkan ke muka pengadilan.
"Hidupan liar adalah khazanah negara yang tidak ternilai dan eksploitasi hidupan liar perlu dikawal supaya mengelakkan kepupusan dan mengekalkan keseimbangan ekosistem," katanya. - Kedahnews.com