Perlu Bantuan RM2,400 Beli Mesin Kahak Bercas Bateri Bayi 19 Bulan Di Jitra


ALOR SETAR - Seorang bapa kepada anak sulungnya yang berusia 19 bulan memohon bantuan orang ramai untuk pembiayaan kos mesin sedut kahak jenis cas bateri bernilai kira-kira RM2,400. 

Lew Kai Chun, 25, dari Taman Indera di sini berkata pada masa ini anak lelakinya itu, Lew Yi Jie hanya bergantung harap pada mesin jenis elektrik untuk menyedut kahaknya itu.

Namun begitu, difahamkan bahawa mesin tersebut terhad untuk digunakan di rumah sahaja kerana menggunakan bekalan tenaga elektrik.

"Dia dilahirkan tidak normal macam bayi lain kerana mengalami masalah tidak boleh menelan air liur menyebabkan kahaknya tersekat di kerongkong sehingga menyempitkan saluran pernafasan.

"Tumbesaran dia juga terbantut dan hanya minum susu khas yang lebih mahal untuk memastikan dia membesar...kami juga perlu berulang-alik ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar setiap bulan dan sangat memerlukan mesin kahak jenis itu untuk memudahkan pergerakan," katanya.

Kai Chun berkata, beliau dan keluarga tidak mampu membeli mesin itu  kerana pendapatannya yang  bekerja di sebuah kedai cermin dan aluminium sebanyak RM1,000 sebulan hanya cukup untuk perbelanjaan mereka termasuk seorang lagi anak yang baru dilahirkan sebulan lepas.

Katanya, mesin sedut kahak jenis cas bateri ini amat diperlukan bagi  memudahkan mereka bergerak ke hospital atau ke mana-mana supaya ia boleh berfungsi walaupun ketika bekalan elektrik terputus.

"Yi Jie minum susu pun menggunakan saluran tiub yang dimasukkan ke dalam mulut sebelum  mengalir  ke dalam perut, kahaknya juga perlu disedut setiap masa...jika tiada elektrik anak saya tidak dapat bernafas dan mula diserang penat sebelum dibawa ke Hospital Jitra atau HSB untuk sedut kahak," katanya.

Kai Chun berkata, isterinya juga tidak boleh bekerja untuk menambah pendapatan kerana terpaksa menjaga anak mereka di rumah dengan rapi.

Berikutan itu, beliau berharap orang ramai terutama pihak korporat dan agensi terbabit dapat membantu membiayai kos pembelian mesin sedut kahak jenis itu.

"Saya juga sudah hantar borang bagi memohon Kad orang kurang upaya (OKU) kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) agar mendapat bantuan sewajarnya termasuk rawatan dan perubatan anak kami," katanya.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian menerusi akaun bersama Bank Simpanan Nasional (BSN) Lew Yi Jie dan Lee Ai Li di nombor 0200241000182542 atau menghubunginya di talian 018-9466538. - Kedahnews.com