Permohonan Reman Ditolak, Boy Iman Dibebaskan


SEBERANG PERAI - Mahkamah Majistret Bukit Mertajam menolak permohonan reman terhadap Pengarah Urusan DBI Properties, Datuk Noruliman A. Rahman ataupun lebih dikenali sebagai Boy Iman bersama tiga lagi pengarah syarikat Juta Kelulut Global Resources berhubung kes penipuan jualan rumah banglo melibatkan jumlah kerugian keseluruhan RM6.2 juta.

Perintah berkenaan dikeluarkan Majistret Dianne Nigrad Nor Azhar kira-kira pukul 12 tengah hari sebelum pelakon telefilem Blok 404 ber­usia 37 tahun itu meninggalkan mahkamah sambil tersenyum dan menunjukkan tanda bagus pada pukul 12.25 tengah hari tadi.

Peguamnya, Faizul Mohd. Nasir berkata, mahkamah menerima permintaan pihaknya untuk membebaskan keempat-empat suspek dengan alasan mereka telah ditahan untuk tempoh yang lama iaitu sejak 2 Oktober lalu dan tidak perlu ‘menjelajah’ dari satu mahkamah ke mahkamah lain bagi menyelesaikan urusan kes yang sama.

Boy Iman dan tiga individu lain itu tiba di perkarangan mahkamah pada pukul 10.35 pagi untuk proses permohonan reman mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sumber: Kosmo