PONTIAN - Persatuan Bugis Benut (PBB) membuat satu laporan di Balai Polis Benut di sini pukul 11.00 pagi semalam terhadap Tun Dr. Mahatir Mohammad yang didakwa menghina etnik tersebut dalam Himpunan Anti-Kleptokrasi, Sabtu lalu.
Pengerusinya, Mohd. Noh Bachok berkata, pihak berkuasa perlu menyiasat dan menahan bekas Perdana Menteri itu di bawah akta hasutan demi keharmonian dan ketenteraman awam.
“Kenyataan Tun Dr. Mahatir yang mengatakan kaum Bugis berasal dari lanun merupakan penghinaan kepada masyarakat tersebut dan mendesak kepimpinan Pakatan Harapan untuk memohon maaf dengan segera.
“Sesungguhnya tiada siapa yang boleh menafikan orang bugis banyak menyumbang kepada pembentukan dan pembangunan Malaysia hingga hari ini,” katanya ketika ditemui pemberita.
Mahathir dalam himpunan itu menyebut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, mungkin berasal dari lanun Bugis yang sesat ke Malaysia dan memintanya balik ke Bugis.
Kenyataan itu tidak sepatutnya diunggapkan oleh Dr. Mahathir, seorang negarawan yang masih dihormati walaupun beliau tidak lagi menyokong kerajaan.
Mentakrifkan etnik itu sebagai 'keturunan lanun' menunjukkan Dr. Mahathir sudah hilang pertimbangan walaupun beliau membenci Najib dan UMNO.
Dr Mahathir tidak ada pilihan lain kecuali memohon maaf secara terbuka kepada masyarakat itu jika mahu mereka terus menyokong partinya, itu pun jika masyarakat Bugis dapat menerimanya lagi. - Kedahnews.com