Pesawat Tiada Kebenaran Terbang DCA : Polis


MELAKA - Pesawat ringan GT500 yang terhempas ke dalam Sungai Mati di sempadan antara Melaka dan Johor pagi semalam tidak mendapat kebenaran terbang Jabatan Penerbangan Awam (DCA).

Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Jalil Hassan, berkata pihak polis dimaklumkan jabatan itu tidak menerima sebarang permohonan untuk pesawat berkenaan diterbangkan pada hari kejadian Sabtu.

Katanya, hasil siasatan DCA mendapati tiada sebarang maklumat penerbangan pada pagi kejadian dilakukan oleh juruterbang yang terbunuh, Yen Yoon Fah, 53, dan jurulatih penerbangan, Shahrul Shafiri, 35, yang cedera.

"Dalam perkara ini, saya menggesa kepada mereka yang gemar melakukan sukan penerbangan, termasuk secara persendirian supaya memaklumkan kepada pihak DCA bagi memaklumkan aktiviti penerbangan bagi tujuan keselamatan.

"Polis Melaka akan bekerjasama membantu polis Tangkak bagi menjalankan siasatan lanjut, bagaimanapun punca nahas ini masih dalam siasatan pihak DCA," katanya selepas menghadiri program Sambutan Hari Sukan Negara 2017 peringkat kontinjen negeri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi Sabtu, pesawat terbabit terhempas pada jarak kira-kira 200 meter dari hujung landasan Aerodrome Sungai Rambai, Jasin, di sini.

Juruterbang sedang melakukan ujian untuk mendapatkan permit penerbangan DCA.

Mayat Yoon Fah dibawa ke Hospital Tangkak, manakala Shahrul yang juga pegawai polis dari Pasukan Gerakan Am (PGA) yang cedera di muka dan tangan dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di Muar.

Susulan kejadian itu, operasi Aerodrome Sungai Rambai dihentikan sehingga siasatan oleh pihak berkuasa selesai.

Sumber: BH Online