Peserta Dari 20 Kawasan Di Kedah Bakal Terima Geran


ALOR SETAR - Seramai lebih dari 3,600 peserta perumahan Desa Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) di 20 kawasan dalam negeri ini akan menerima geran individu pemilikan tanah yang bernilai RM50,000 menjelang awal tahun depan.

Menurut Timbalan Pengurus Besarnya, Kamarudin Abd Akib, kini proses bagi memindahkan hak milik kepada peserta yang terlibat telah pun memasuki fasa terakhir.

Pihak lembaga pengarah bersetuju menyerahkan  geran individu tersebut dan kini, proses mengisi borang pindah milik sedang giat dijalankan," katanya.

Tambahnya, proses pemindahan hak milik dilakukan secara berperingkat dengan melibatkan 36 kawasan di mana lima daripadanya telah selesai dan 20 lagi sedang dalam fasa terakhir.

"Setakat ini lima kampung termasuk di Sik, Pendang dan Baling telah selesai, manakala 20 kampung sedang dalam proses, dan selebihnya akan dibuat secara berperingkat selepas fasa pertama selesai.

"Kita juga ingatkan peserta perumahan ini supaya mematuhi kriteria yang ditetapkan supaya proses pemindahan hak milik geran individu dapat berjalan dengan lancar," katanya.

Dengan penyerahan geran individu tersebut maka penduduk tidak perlu lagi merasa bimbang jika berlakunya perkara berbangkit pada masa hadapan berkenaan status rumah yang didiami mereka itu.

"Penyerahan geran ini sedikit sebanyak dapat melegakan hati peserta di Desa Keda ini, dan tidak perlu risau lagi apabila ia sudah menjadi hak mereka.

"Peserta hanya perlu mengeluarkan kos sebanyak RM200 hingga RM250 untuk pembayaran cukai tanah dan yuran pindah milik berbanding perlu membayar harga tanah yang sudah mencecah RM50,000 seluas lebih 1,200 meter persegi," katanya. - Kedahnews.com