PAKATAN Harapan yang diketuai oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad dan DAP kini semakin terdesak sehingga mengheret pemimpin agama di dalam program mereka.
Terbaharu, Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri turut dikaitkan dengan Himpunan ‘Sayangi Malaysia Hapuskan Kleptokrasi’ yang dihadiri sekitar 8,000 - 10,000 di Petaling Jaya semalam.
“Kami menafikan sekeras-kerasnya penglibatan kami samada atas kapasiti peribadi atau jawatan Mufti Wilayah Persekutuan dalam program ini,”kata Dr. Zulkifli berhubung penglibatannya dalam himpunan pembangkang di Padang Timur di sini.
Mufti Wilayah Persekutuan itu mendakwa dirinya dikaitkan dengan satu poster yang sedang viral menunjukkan gambar beliau berada bersama sebaris pemimpin pembangkang mempromosikan himpunan semalam.
“Kami menerima kiriman poster ini sebentar tadi daripada seorang netizen yang bertanyakan tentang penglibatan Mufti Wilayah Persekutuan dalam program ini,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Tegas Zulkifli, tindakan menyebarkan poster tersebut tanpa usul periksa adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan mengecam sekeras-kerasnya tindakan tersebut yang bertujuan untuk mencemarkan imej beliau.
“Kami menghormati hak kebebasan bersuara di Malaysia, namun berpendirian untuk kekal tidak memihak kepada mana-mana parti politik atas kapasiti Mufti Wilayah Persekutuan.
“Justeru, tindakan membuat poster ini dan menyebarkannya tanpa usul periksa adalah perbuatan yang tidak bertanggungjawab,” katanya.
Ujar beliau, semasa himpunan pembangkang diadakan beliau sedang dalam penerbangan pulang dari Labuan ke Kuala Lumpur dan tidak ada menghadiri himpunan tersebut.
“Semasa program ini dijalankan, kami berada dalam penerbangan daripada Labuan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2) selepas menghadiri program di sana.
“Kami menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk lebih berhati-hati dan menyelidik hal yang belum dipastikan lagi. Media sosial hendaklah dimanfaatkan dengan baik dan sewajarnya untuk tujuan yang bermanfaat,” katanya.
Himpunan itu turut dihadiri Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan, Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Pengerusi Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu, Pesiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Ismail serta pemimpin gabungan pakatan pembangkang itu. - Kedahnews.com