Piagam Madinah Tiada Tandingan


KETIKA memperkatakan mengenai hak asasi manusia dan kedaulatan undang-undang, umumnya orang akan rujuk kepada Magna Carta yang ditandatangani Raja John di England pada 1215 selepas mendapat tekanan golongan bangsawan yang memberontak.

Magna Carta (Piagam Agung) sering diangkat menjadi model pertama diusahakan manusia dalam soal kedaulatan undang-undang. Latar belakang kisah Magna Carta ini sebenarnya cukup tragik. Selepas kalah teruk melawan Perancis, Raja John memaksa bangsawan membayar harga kekalahan itu bahkan menjual harta gereja untuk isi tabung kerajaan. Maka berlakulah pemberontakan golongan bangsawan ini dan raja berada di pihak lemah.

Ketua pendeta gereja Canterbury ambil kesempatan berpakat dengan bangsawan memaksa raja menandatangani dokumen perjanjian digubalnya.

Raja berada dalam keadaan lemah tiada pilihan melainkan menandatangani perjanjian itu pada 25 Jun 1215. Sebenarnya Magna Carta adalah dokumen memelihara hak bangsawan, bukan rakyat kecil. Piagam ini terpaksa ditandatangani raja demi memelihara kepentingan dirinya sahaja. Piagam ini bertahan beberapa bulan kerana raja enggan mematuhi isi perjanjian itu mengakibatkan pemberontakan berterusan sehingga baginda mangkat pada 1216.

Namun, Magna Carta tetap disanjung sebagai pencetus idea kedaulatan undang-undang. Demikian tanpa disedari wacana Eurosentrisme melanda dunia, seolah-olah bangsa lain tidak pernah kenal idea kedaulatan undang-undang dan hak asasi manusia sebelum Eropah memperkenalkannya.

Sebagai orang Islam yang membaca sejarah peradaban Islam, sewajarnya kita tahu Piagam Madinah yang digubal Nabi Muhammad SAW pada tahun 1 Hijrah (622 M). Baginda menulis piagam ini untuk jadi dasar negara berbilang kaum pimpinan Baginda.

Tiada tekanan dilakukan ke atas Baginda dan piagam ini bertahan selepas kewafatan Baginda bahkan menjadi model piagam lain yang ditandatangani khalifah dalam penaklukan mereka. Muhammad Hamidullah menegaskan, Piagam Madinah ini adalah perlembagaan bertulis pertama dikenal manusia.

Melalui Piagam Madinah, Rasulullah memperkenal antara lain konsep kebebasan beragama, hak minoriti dan kedaulatan syariah - undang-undang menjamin bukan hanya toleransi tetapi juga kepentingan minoriti bukan Islam di bawah pemerintahan Islam.

Lebih dari sekadar prinsip kedaulatan undang-undang, dunia hari ini perlukan undang-undang yang adil dan benar-benar menjamin kemaslahatan manusia. Kedaulatan undang-undang sahaja tidak cukup kerana undang-undang digubal dan disepakati itu boleh menindas kelompok minoriti dan golongan lemah.

Penindasan kelompok kulit hitam di Amerika Syarikat berlaku selama ratusan tahun. Demikian juga perhambaan pada zaman penjajahan dan kerja paksa oleh Belanda di tanah Jawa.

Syariah yang dibina Rasulullah SAW bertujuan menjamin kemaslahatan manusia. Pengharaman arak sebagai contoh bertujuan memelihara akal daripada hilang kewarasan yang boleh menyebabkan gejala sosial dan jenayah. Berbeza dengan penganut sebahagian agama yang merubah hukum yang ditetapkan di dalam kitab suci mereka, umat Islam umumnya tunduk dan taat terhadap perintah Tuhan ini yang jelas dinyatakan di dalam al-Quran.

Mencuri idea daripada ilmuwan Muslim

Memahami rahsia di sebalik Syariah ini, Imam al-Ghazali (1111) rahimahullah merumuskan ada lima perkara yang jadi objektif Maqasid Syariah, iaitu agama, jiwa, akal, harta dan keturunan. Semua perkara baik dalam kehidupan manusia terhimpun dalam lima perkara ini.

Hak asasi dibicarakan John Locke (1704) terhad kepada tiga perkara sahaja, iaitu kehidupan, kebebasan, harta benda, bersesuaian dengan pandangan Barat mengehadkan kebahagiaan manusia pada hal material. Sehingga kini apabila berbicara mengenai hak asasi manusia nama besar yang disanjung adalah Locke meskipun dia muncul hampir 600 tahun selepas Imam al-Ghazali.

Golongan modenis-liberal tidak sedar bahawa Locke mengambil idea natural rights dan pemerintahan terbatas daripada karya ilmuwan Muslim, terutama Imam al-Ghazali yang diterjemahkan ke dalam bahasa Latin sejak abad ke-12. Ramai pengkaji mengesahkan Descartes 'mencuri' idea Imam al-Ghazali untuk rumus methodic doubt yang menjadi asas ungkapan masyhur cogito ergo sum (aku berfikir maka aku wujud).

Bezanya adalah Imam al-Ghazali bertitik tolak daripada keraguan untuk menuju keyakinan dengan tidak membataskan kebenaran hanya pada maklumat daripada panca indera dan akal tetapi juga wahyu rasul, Descartes justeru, bertitik tolak daripada keraguan untuk menegaskan kedudukan akal rasional sebagai penentu mutlak sesuatu kebenaran.

Modenisme Barat mendewakan akal rasional kerana mereka hilang kepercayaan kepada wahyu dan agama yang sinonim dengan ketidakrasionalan, mitos dan legenda. Mereka yang ikut secara membuta tuli modenisme Barat tidak berfikir, tidak tahu beza antara Islam dengan agama Kristian, menyangka Islam juga mengandungi ketidakrasionalan dan mitos seperti di Barat.

Baru-baru ini, buku Robert R. Reilly The Closing of the Muslim Mind diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Robert adalah penasihat George W Bush dari kalangan neokonservatif yang terkenal dengan sikap anti-Islam. Buku ini memfitnah ulama Asha'irah sebagai antiakal dan menyebabkan kemunduran berfikir umat Islam. Tokoh dijemput melancarkan buku bukan ilmiah ini adalah Mustafa Akyol, wartawan di New York yang popular selepas menulis keharusan homoseksualiti dalam Islam, juga bukan ilmuwan.

Hanya orang buta sejarah peradaban Islam sahaja yang akan persalahkan Imam al-Ghazali dan ulama Asha'irah umumnya di atas kemunduran sains dunia Islam. Namun, tuduhan liar tidak berasas penulisan sebahagian Orientalis menjadi modal besar golongan modenis-liberal. Kekesatan dan kekeliruan disebarluaskan dengan sokongan pihak asing berkepentingan atas nama kebebasan dan hak asasi dan semua menentang usaha ini dianggap zalim dan kejam.

Penulis adalah Pengarah Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban (CASIS), Universiti Teknologi Malaysia

Sumber: BH Online