Pinjaman Penuntut MARA B40 Dipermudah


MAJLIS Amanah Rakyat (MARA) akan melonggarkan syarat pemberian pinjaman kepada penuntut daripada golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) dan luar bandar untuk menyambung pengajian di Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) mulai tahun depan.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu sebahagian daripada usaha untuk memberi peluang kepada golongan berkenaan melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

"Dari segi pinjaman setakat ini 40 peratus penuntut KPTM mendapat tajaan sepenuhnya oleh kerajaan, memandangkan syarat yang ditetapkan adalah sekurang-kurangnya lima kredit dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Oleh itu, mulai tahun depan kita akan mempertimbangkan syarat pemberian biasiswa ini. Sepatutnya mereka perlu memperoleh lima kredit tetapi akan datang ia boleh diubah mungkin kepada empat kredit," katanya pada sidang media pada Majlis Konvokesyen Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) kali ke-34 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya semalam.

Hadir sama Ketua Pengarah MARA Datuk Azhar Abdul Manaf.

Ismail Sabri berkata, pihaknya akan mempertimbangkan syarat pemberian pinjaman ini bukan sahaja kepada golongan luar bandar malah, penuntut di bandar dengan syarat pendapatan isi rumah mereka mematuhi syarat yang ditetapkan.

"Malah, peruntukan sebanyak RM2.5 bilion melalui Bajet 2018 yang diumumkan Perdana Menteri Jumaat lalu turut memberi peluang luas kepada mereka yang berminat menyambung pengajian ke peringkat sarjana dan doktor falsafah (PhD).

"Selain itu, kita juga dapat menghantar lebih ramai penuntut sarjana dan PhD ke luar negara berbanding tahun lalu," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai kebolehpasaran graduan KPTM, beliau berkata, pihaknya mensasarkan 80 peratus graduan mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas menamatkan pengajian.

"Ketika ini kebolehpasaran graduan KPTM adalah 72 peratus dan kita yakin ia akan meningkat," katanya.

Sumber: MyMetro