DAP yang menerajui Pakatan Harapan (PH) kini memilih ketuanya, Lim Kit Siang untuk dicalonkan sebagai Perdana Menteri jika pakatan pembangkang itu menang PRU14.
Siapa sewajarnya layak dilantik Perdana Menteri kembali hangat diperbahaskan selepas Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) 'bersetuju' untuk tidak lagi membincangkannya bagi memberi tumpuan kepada kemenangan pada PRU14.
Namun begitu Majlis Presiden PH juga 'melanggar' keputusan yang dibuatnya setelah dua pemimpin DAP menyatakan Kit Siang lebih layak diangkat sebagai Perdana Menteri berbanding pemimpin lain.
Sebelum ini bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang kini dilantik sebagai Pengerusi PH dan Pengerusi PPBM menawarkan diri untuk memegang jawatan itu semula jika tiada calon lain yang layak.
Bukan sekali, tetapi beberapa kali Dr. Mahathir cuba menggambarkan diri beliau paling layak menduduk jawatan itu walaupun beralas 'jika dipersetujui' oleh parti-parti dalam pakatan itu
Dr Mahathir dilaporkan berkata, beliau bersedia menduduki jawatan tertinggi itu walaupun untuk sementara.
Pada masa yang sama, pemimpin dan penyokong PKR masih kekal dengan pendirian asal mahu ketua umum parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik Perdana Menteri.
Ini kerana Anwar sudah dicadang lebih awal ke jawatan itu dan sudah merancang ke Putrajaya
tidak lama dahulu namun 'kandas' kerana tiada yang melompat parti seperti mana yang digambarkan. .
Semasa Kongres Kebangsaan PKR, para pemimpin PKR, DAP dan PAN telah mengkangkat plakad 'Anwar PM Ke-7" sebagai tanda solidariti untuk memilih Anwar.
Turut mengangkat plakad itu ialah Lim Kit Siang yang tentunya bersetuju Anwar sebagai Perdana Menteri pada masa akan datang.
Hanya Dr. Mahathir sahaja yang tidak memegang plakad itu, sebaliknya memegang telefon bimbit.
Kit Siang pernah berkata beliau tidak pernah terfikir atau bercita-cita untuk menjadi Perdana Menteri. Namun Kit Siang sedar DAP mempunyai 38 kerusi Parlimen dalam Dewan Rakyat mendahului kerusi PKR.Sedangkan PPBM yang dipimpin oleh Dr. Mahathir hanya memiliki kerusi tunggal di Parlimen Paguh yang diwakili oleh Presiden parti itu Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pada sidang akhbar di Pulau Pinang pada 25 Januari lalu, Kit Siang mengakui bahawa tidak menjadi kesalahan kepada sesiapa untuk mempunyai cita-cita tinggi menjadi Perdana Menteri.
Selepas tiga bulan sepi soal siapa yang layak calonkan sebagai Perdana Menteri di kalangan parti pembangkang, kini giliran pemimpin DAP pula memberanikan diri untuk bersuara bagi mengnagkat Kit Siang ke jawatan itu.
.
Antara mereka yang lantang bersuara ialah Datuk Zahid Ibrahim, bekas menteri di jabatan perdana menteri yang kini bersama DAP. Beliau menyifatkan pelantikan Ahli Parlimen Gelang Patah (Kit Siang) bagi jawatan tertinggi itu adalah satu idea yang bernas.
Semalam Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang Prof. Dr. P. Ramasamy menyokong Penasihat DAP tersebut menerajui kepemimpinan negara jika Pakatan Harapan menang pada pilihan raya umum akan datang.
Kenyataan kedua-dua pemimpin itu mencerminkan hasrat DAP yang sebenarnya iaitu mahu Kit Siang menjadi Perdana Menteri.
Ramasamy yang merupakan Timbalan Setiausaha Agung DAP berkata, Kit Siang adalah pemimpin yang paling layak untuk dipertimbangkan berdasarkan sejarah dan pengalamannya dalam politik negara.
“Beliau (Kit Siang) menghabiskan bertahun-tahun berjuang untuk demokrasi dan keadilan dengan mengorbankan hidup sendiri dan juga ahli keluarganya, malah dipenjarakan dua kali di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana politik.
Kit Siang adalah calon utama perlu dipertimbangkan untuk jawatan nombor satu negara ini, sama ada beliau mahu atau tidak memegang jawatan tersebut, ia perkara yang berbeza,” katanya sepertimana disiarkan portal Berita Daily.
Ramasamy mendakwa, tanpa kehadiran Kit Siang, Pulau Pinang dan beberapa negeri lain tidak akan jatuh ke tangan pembangkang.
Bagaimana pun bekas menteri kabinet kanan dalam tiga zaman (Dr. Mahathir, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Razak) Tan Sri Dr. Rais Yatim pula berpendapat Kit Siang tidak layak memegang jawatan tersebut.
Rais yang kini Penasihat Sosio Budaya Malaysia menyatakan rekod DAP lebih menjurus kepada politik membangkang bukan politik mentadbir rakyat, manakala jumlah 38 kerusi yang dimiliki DAP sekarang bukan syarat mutlak menjadi pemimpin yang lebih baik.
Ramai yang melihat usaha pemimpin DAP menonjolkan Kit Siang itu bagi mencetuskan satu suasana tidak senang di kalangan orang Melayu, menutup isu yang sedang melengkari parti pembangkang dan paling penting menarik pengundi Cina untuk menyokong DAP.
PPBM, PKR dan PAN tidak pula berani membantah cadangan DAP itu.
Di sebalik itu, cadangan DAP untuk menonjolkan Kit Siang sebagai Perdana Menteri akan memperkukuhkan lagi sokongan orang Melayu kepada UMNO dan Barisan Nasional. - Kedahnews.com