KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak bertekad untuk memberi impak yang positif terhadap kehidupan masyarakat India di negara ini seiring dengan kecemerlangan negara.
Perdana Menteri berkata kemeriahan sambutan Deepavali tahun ini adalah sangat istimewa dengan aspirasi dan azam diukir dalam Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia (MIB) dilancarkan April lepas.
"Kini Deepavali kembali, menyerikan suasana. Pelita yang dinyalakan dan kolam yang dihias mencerminkan suasana meriah dalam kedamaian," katanya dalam perutusan Deepavali menerusi Facebook beliau, pada Isnin.
Najib berkata pencapaian Malaysia yang sama-sama dapat dilihat dan dinikmati pada hari ini meletakkan negara pada tahap yang amat membanggakan.
"Walaupun semakin hari kita semakin pantas mendaki puncak kemodenan dengan pelbagai kemudahan yang tersedia, namun keunikan budaya tetap kekal kita pelihara.
"Selamat Menyambut Hari Deepavali. 'Deepavali Vaalthukal'," katanya merujuk sambutan perayaan itu Rabu ini.
Pada 23 April lepas, Najib melancarkan MIB sebagai satu dokumen rasmi kerajaan untuk pembangunan komuniti India di negara ini bagi tempoh 10 tahun akan datang.- BERNAMA