POLIS menafikan dakwaan Naib Pengerusi DAP Selangor, Datuk Teng Chang Khim kononnya pihak berkuasa itu sudah meluluskan penganjuran pesta arak, ‘Centro Mall German F&B Festival’ di Centro Mall pada 12 dan 13 Oktober ini.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Mazelan Paijan berkata, pihaknya tidak menerima sebarang permohonan daripada penganjur program tersebut.
Tegas beliau, pihaknya juga tidak akan sesekali ingkar terhadap arahan yang telah pun dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi agar tiada sebarang penganjuran pesta arak di semua tempat di negara ini.
“Kita tidak akan benarkan seperti yang diarahkan Timbalan Perdana Menteri. Jika ada yang mendakwa sudah dapat kelulusan dari polis, itu adalah surat kebenaran palsu,” katanya ketika dihubungi media tempatan semalam.
Chang Khim yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan Pengangkutan sebelum ini mendakwa polis sudah memberi kebenaran penganjuran pesta arak itu dengan syarat ia tidak membabitkan orang Islam serta tidak berunsur politik.
Dakwaan itu dibuat pemimpin DAP tersebut dalam sidang akhbarnya selepas pelbagai pihak tampil membantah penganjuran pesta arak berkenaan walaupun ia diadakan secara tertutup kerana disifatkan tidak sensitif dengan kegelisahan umat Islam selaku penduduk majoriti di negara dan di negeri ini.
Sementara itu PAS menyifatkan tindakan DAP yang mengingatkan PAS supaya tidak mencampuri urusan penganjuran pesta arak seperti Better Beer Festival 2017 sebagai angkuh dan mencabar sensitiviti umat Islam di negara ini.
Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan memberi peringatan tegas terhadap parti cauvinis Cina itu bahawa PASs akan menentang habis-habisan sebarang penganjurannya.
Beliau yang dipetik daripada Utusan Malaysia, bukan Islam tidak dihalang untuk minum arak namun apabila sampai ke tahap mengadakan pesta ia dilihat cukup melampau.
“Apabila pesta diadakan untuk mempromosikan arak, ia adalah langkah mencabar sensitiviti umat Islam dan kita tidak akan benarkan,” katanya kepada pemberita selepas Himpunan Fastaqim 2.0 di Pantai Tok Jembal di sini malam tadi.
Chang Khim sebelum itu mengingatkan PAS supaya tidak mencampuri urusan penganjuran pesta arak di Selangor.
Sambil menemplak PAS, Chang Khim dilaporkan berkata, kadar Aids dan masalah sosial di Kelantan adalah lebih tinggi berbanding Selangor meskipun pesta arak tidak dianjurkan di negeri yang diperintah parti Islam itu.
Sebelum ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menolak permohonan permit bagi penganjuran pesta Better Beer Ferstival 2017 atas sebab keselamatan selain ia bercanggah dengan enakmen yang terkandung dalam undang-undang kecil DBKL.
Bagaimanapun timbul ura-ura pesta arak tersebut akan dipindahkan ke Selangor tetapi mendapat tentangan daripada banyak pihak.
Pesta berkenaan sepatutnya diadakan dari 6 hingga 7 Oktober di pusat beli-belah Publika, Kuala Lumpur dengan menampilkan 250 jenama arak yang berbeza dari 43 kilang arak seluruh dunia.
Sementara itu, Nasrudin menyifatkan kenyataan pemimpin DAP itu keanak-anak kerana menyindir PAS supaya hanya menjaga Kelantan dilihat sebagai bersifat keanak-anakkan.
PAS bukan wujud di Kelantan sahaja malah di seluruh negara, ujanya lagi. - Kedahnews.com