Prasarana Umum Khdimat RapidFerry Bulan Depan


SEBERANG PERAI - Prasarana Malaysia Bhd akan mengumumkan secara rasmi pengambilalihan perkhidmatan feri Pulau Pinang pada November susulan rundingan yang dijalankan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Seri Azmi Abdul Aziz berkata pengambilalihan itu kini melalui proses pemindahan pemilikan daripada dua pihak.

"Kami menjangkakan proses itu selesai tidak lama lagi sebelum kami melancarkan perkhidmatan awalnya yang dikenali sebagai RapidFerry pada November," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Konvokesyen Politeknik Seberang Perai di sini semalam.

Perkhidmatan feri itu kini diurus oleh Penang Port Sdn Bhd (PPSB), yang diswastakan  kepada Seaport Terminal Sdn Bhd, yang melaporkan kerugian tahunan lebih RM21 juta.

Azmi membuat pemeriksaan ke atas perkhidmatan feri itu malam tadi. Beliau berkata secara rasminya, kumpulan itu belum mengambil alih perkhidmatan itu, namun sudah menerima kelulusan daripada kerajaan persekutuan untuk berbuat demikian.

Beliau juga berkata kumpulan itu telah mula menaik taraf perkhidmatan feri dengan mengkaji bilangan  kapal yang beroperasi, keselamatan penumpang dan menaik taraf persekitaran untuk pejalan kaki.

"Kami tidak menunggu, sebaliknya mula menjalankan kerja-kerja asas. Selepas pengumuman pengambilalihan secara rasmi, perkhidmatan feri akan diurus oleh anak syarikat kami, RapidFerry Sdn Bhd," katanya.

Azmi berkata feri Pulau Pinang merupakan kaedah pengangkutan yang unik, dan kumpulan itu akan cuba mencari penyelesaian terbaik untuk meningkatkannya bagi menarik penumpang.

"Ia juga merupakan ikon nasional dengan para pelancong mendapat peluang untuk mengalami pengalaman menggunaan perkhidmatan itu, dan matlamat  utama kami adalah untuk meningkatkan jumlah penumpang," katanya.

Azmi juga berkata kumpulan itu merancang untuk mengintegrasikan perkhidmatan feri dengan hab pengangkutan Penang Sentral, di samping kereta api dan perkhidmatan bas Rapid untuk mewujudkan persekitaran yang lebih selesa kepada penumpang.

Feri Pulau Pinang, yang menyediakan perkhidmatan yang menghubungkan bahagian pulau dari George Town (Pengkalan Raja Tun Uda) ke tanah besar di Butterworth (Pengkalan Sultan Abdul Halim), merupakan perkhidmatan feri tertua di Malaysia dan telah beroperasi sejak 1894.

Sejak 1985, berikutan pembukaan Jambatan Pulau Pinang, perkhidmatan feri dilaporkan mengalami kerugian  sekurang-kurangnya RM700 bagi setiap perjalanan yang dibuat.- BERNAMA.