Proton Kini ‘Ramuan’ Terbaik, Ayuh Tawan Dunia


AKHIR September lalu, pelantikan Dr. Li Chunrong sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu Proton menjadi berita besar bukan sahaja di Malaysia, malah seluruh dunia.

Ia sekali gus membuktikan pihak pentadbiran Proton ataupun Perusahaan Otomobil Nasional Sdn. Bhd. (PONSB) memang serius mahu berubah.

Hakikatnya bisnes automotif bukan sekadar cerita industri berat, malah lebih kepada strategi kelangsungan hidup amat kritikal dan bukan ‘main-main’ sekadar buat kereta untuk dijual tanpa ada minda transformasi jangka panjang.

Inilah cuba dilakukan pihak pengurusan Proton setelah menjalin pakatan strategik dengan Zhejiang Geely Holdings Group dari China selepas menolak beberapa tawaran bidaan kerjasama dengan pengeluar kenderaan lain dari Barat.

Maka perubahan struktur organisasi dengan bawa masuk Chunrong, 52, merupakan antara ikhtiar pemikiran ‘luar kotak’ subsidiari DRB-Hicom itu memanfaat pengalaman 30 tahun beliau bawa Proton agar lebih bertaraf global.

Kejayaan beliau memajukan Honda, Kia dan Dongfeng sebelum ini amat dicemburui syarikat automotif Barat tetapi kesudian Chunrong sanggup galas tugas berat memulihkan Proton yang lesu inilah paling ‘digeruni’ pihak lawan.

Bayangkan antara ayat pertama Chunrong apabila julung kali berucap di khalayak memperkenalkan dirinya pada 29 September lalu ialah ikrar sedia bertugas siang dan malam untuk bawa kembali Proton kepada zaman gemilang.

“Tugas saya bukan memanndang ke belakang tetapi saya akan kerja siang dan malam memastikan Proton benar-benar berjaya,’’ kata beliau yang turut mengejutkan ramai hadirin di sebalik penampilan imej sederhana dirinya.

Bukan itu sahaja, tidak seperti kebanyakan pengkritik Proton langsung tidak yakin jenama kereta buatan Malaysia ini, Chunrong pula jauh optimis bukan setakat jadi pilihan No.1 di pasaran domestik, malah menawan ASEAN.

“Untuk capai wawasan ini, Proton sebenarnya kini memiliki akses kepada sinergi global, kepakaran dan sokongan kewangan diperlukan daripada Kumpulan Geely. Saya berkeyakinan penuh Proton akan raih masa depan agak baik.

“Jika ditanya apakah strategi utama saya? Jawapan saya ialah untuk mencapai ‘kepuasan pelanggan’ menerusi produk kereta yang dimahukan mereka sendiri,’’ kata beliau dengan nada yakin.

Realitinya Proton sudah ada ‘ramuan’ terbaik dan landasan betul pelan pemulihan untuk letak semula syarikat itu di jajaran pertumbuhan positif; bukan sekadar puas hati di Malaysia, bahkan gah di peringkat serantau dan global.

Ini bermakna, puluhan ribu pekerjanya selain puluhan syarikat vendor pembekal komponen akan didedah kepada acuan standard antarabangsa, tidak lagi setakat selesa anggap Proton hanya sesuai dijual di dalam Malaysia sahaja.

Perlu diingat, pelbagai model lain waima saingan domestiknya, Perodua pun sudah pantas bergerak ke depan, bukan lagi pasaran tempatan, malah ke luar negara. Proton patut ‘malu’ tetapi tidak lambat untuk mengejarnya balik!

Jika CEO PONSB sendiri ikrar sanggup kerja 24 jam sehari demi menghidupkan semula Proton, ini bermakna beliau perlu sokongan padu bukan hanya pihak pengurusan, bahkan semua pekerja setiap peringkat untuk ‘takluk’ dunia.

Ia bukan mustahil malah kesediaan Geely bantu Proton sebenarnya ada hikmah bagi selamatkan syarikat tempatan ini daripada ‘jatuh’ berterusan. Pendek kata, Proton kini ibarat sudah nampak ada cahaya di hujung terowong!

Chunrong bertanggungjawab terhadap operasi membabitkan pengeluaran, pembuatan, kualiti, penyelidikan dan pembangunan, serta penjualan dan pemasaran termasuk peranan penting dalam pembangunan model baharu.

Kenderaan pertama hasil usaha sama ini merupakan SUV bersaiz sederhana, Geely Boyue, dan kali pertama Proton memasuki segmen itu yang cukup popular dalam kalangan kumpulan pembeli berpendapatan sederhana.

Apa yang menarik, tidak ramai sedar kunci kejayaan Proton ialah produk kereta bermutu ditawarkan di pasaran, sekali gus memastikan semua pihak dapat menikmati keuntungan dan inilah ditawarkan Geely sebagai timbal balas.

Geely bahkan beri sokongan padu untuk kejayaan Proton, termasuk denngan menawarkan sumber Volvo dimiliki syarikat China itu serta bekalan enjin baharu memenuhi piawaian pelepasan asap Euro 6, enjin hibrid dan elektrik.

Atas kertas, Proton tidak mustahil dapat capai sasaran untuk kembali catat keuntungan dalam tempoh lima tahun akan datang dan menyasarkan tempoh 10 tahun untuk menjadikan Proton sebagai jenama terbesar di benua Asia.

Ini bukan sekadar angan-angan. Paling penting semua pihak termasuk rakyat Malaysia yang patriotik sayang jenama Proton, perlu sokong usaha pemulihan tanpa rasa ragu. Ayuh Proton bangkit tawan dunia! 

Sumber – Mynewshub