PSC: Mr. Tony! Ini KLIA2lah, Zaman LCCT Dah Berlalu


AL KISAHNYA awal Julai 2007, masyarakat dunia gempar ‘aksi’ sekumpulan Orang Kelainan Upaya (OKU) tempatan berdemonstrasi di lobi Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di Sepang.

Drama tidak diduga anjuran 18 badan bukan kerajaan (NGO) tersebut bukan sahaja aib Malaysia di arena global, malah imej terminal bajet terletak tidak jauh Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu terjejas.

Meskipun sudah lebih sedekad berlalu, insiden ini mendedahkan banyak kisah buruk mengenai LCCT yang asalnya dirasmikan perdana menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2006 dengan kos RM108 juta sahaja.

Bagi yang pernah ada sejarah nostalgia berurusan di terminal kecil itu, suasananya amat kelam kabut, bahkan ada berasa malu melihat LCCT kerana ia seolah-olah macam jelas berada di sebuah negara mundur ala era 1980-an.

Kemuncaknya KLIA2 mula dibina pada 2010 ekoran laporan negatif disiar pelbagai media tempatan sebelum itu termasuk visual ramai penumpang bersesak tidur di lantai sempit sementara letih menunggu pesawat lewat tiba.

Justeru apabila Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Berhad, Tan Sri Tony Fernandes ‘bising’ isu caj khidmat penumpang (PSC) diseragamkan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom), ramai penganalisis agak terkejut.

Isunya hanya kerana caj di KLIA2 sama dengan KLIA dan semua lapangan terbang seluruh negara mulai 1 Januari ini. Dalih beliau konon kemudahan di terminal dibuka sejak 2014 dengan kos RM4 bilion itu tidak gah macam KLIA.

Sebenarnya inilah alasan tipikal Tony walhal beliau sendiri pernah kata sebelumnya: “KLIA2 lebih mahal daripada KLIA. Saya minta terminal baru dengan fasiliti cukup ringkas. Perlukah kos KLIA2 pula 20 kali berbanding LCCT?”


Tiga tahun lalu, beliau kecoh apabila nilai pembinaan terminal bajet terbesar di dunia itu lebih tinggi daripada KLIA tetapi kemudian paling lucu Tony pertikai kenapa PSC di KLIA2 mesti sama dengan KLIA! Jadi mana satu betul ni?

Apakah beliau terlupa atau sengaja buat lupa kenyataan dibuat sendiri? Realitinya KLIA2 amat hebat dari segi fasiliti malah ada lebih baik berbanding KLIA dan terminal bajet di seluruh dunia waima di negara maju sendiri.

Untuk rekod, kadar PSC ditetapkan semula Mavcom itu pun masih lagi rendah berbanding Singapura, Bangkok, Manila, Yangon, Phnom Penh, Delhi, Mumbai, Beijing, Shanghai. Hong Kong, Incheon, Tokyo, Osaka dan Dubai.

Maka dakwaan Tony konon tarif PSC baharu itu bakal ancam KLIA2 bersaing kompetitif dengan lapangan terbang serantau, boleh diperdebatkan. Adakah beliau diulit sentimental nostalgia LCCT yang daif dan banyak masalah?

Tony mungkin terlupa atau malu cerita mengenai isu PSC berbeza antara KLIA dan KLIA2 selama ini menerima kritikan banyak operator penerbangan antarabangsa sebagai bentuk amalan persaingan tidak adil serta agak janggal.

Tidak hairanlah ketika beliau sibuk ‘canang’ keburukan isu penyeragaman PSC di KLIA2, tanpa diduga Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) dianggotai 278 syarikat penerbangan seluruh dunia pula menyokongnya.

Badan berpusat di Kanada dan ditubuhkan sejak 1945 itu dalam kenyataan pada 18 Oktober lalu malah menyifatkan PSC wajar disamakan Mavcom kerana fasiliti KLIA2 setanding dengan KLIA dan ia bukanlah satu isu besar pun.

Sesuatu tidak ramai sedar, penumpang KLIA dan lapangan terbang lain di Malaysia yang terpaksa bayar PSC tinggi ketika ini sebenarnya umpama beri subsidi pada KLIA2 walhal terminal bajet itu jauh lebih hebat dari segi fasiliti.

Ini kerana PSC rendah di KLIA2 selama ini tidak cukup tampung kos operasi harian selain dibantu subsidi kerajaan sebanyak RM70 juta setahun (baca: duit pembayar cukai) menerusi Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB).

Bayangkan wang sebesar itu boleh digunakan untuk menambah baik perkhidmatan udara di pedalaman Sabah dan Sarawak. Dakwaan Tony konon PSC yang tinggi menjejaskan kedatangan penumpang juga tidak berasaskan fakta.

Rekod menunjukkan data trafik untuk sembilan bulan pertama tahun ini menyaksikan 10.2 peratus pertambahan berbanding 4.4 peratus tempoh sama sebelumnya. MAHB malah melaporkan pasaran China tumbuh 22 peratus!

Kesimpulannya, Mr. Tony tidak perlu ‘latah’ dalam isu PSC memandangkan tiada apa perlu dibimbangkan sangat. Zaman LCCT sudah berlalu dan penumpang pun tidak sanggup kembali kepada era itu.- Kedahnews.com