TELOK AIR TAWAR - Dua remaja nyaris maut apabila kereta dinaiki dipercayai hilang kawalan dan merempuh Pusat Khidmat Adun Telok Air Tawar, di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, kereta yang dinaiki remaja berusia muda lingkungan 19 tahun itu bersama rakannya dipercayai terbabas sebaik tiba di persimpangan bersebelahan pusat khidmat tersebut.
Menurut sumber, kereta jenis Proton Persona itu dipercayai dari arah Butterworth menuju Kepala Batas.
"Kereta dipandu kedua-dua mangsa dipercayai hilang kawalan mengakibatkan ia terbabas lalu merempuh tiang elektrik berhampiran, sebelum melanggar bahagian tepi bangunan tersebut.
"Akibat rempuhan itu, kereta dinaiki mangsa terbakar namun mereka berjaya keluar daripada kereta itu," katanya kepada pemberita.
Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Butterworth, Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Faizwan Che Amat berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada kira-kira jam 1 pagi.
"Tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Butterworth dikejarkan ke lokasi kejadian dan tiba kira-kira lima minit kemudian.
"Pihak Bomba kemudiannya menjalankan kerja pemadaman melibatkan kenderaan dan bahagian luar pusat khidmat tersebut," katanya.
Beliau berkata, kebakaran melibatkan kenderaan dan bahagian motor pendingin hawa di luar bangunan pusat khidmat terbabit.
"Kenderaan didapati terbakar hampir 60 peratus, manakala bahagian dinding pusat khidmat itu mengalami kerosakan 30 peratus,.
"Kebakaran di luar menyebabkan asap masuk ke dalam dan mengakibatkan bahagian dalam berjelaga.
"Kerja-kerja pemadaman dijalankan dan api dapat dikawal pada kira-kira jam 1.32 pagi dan dipadamkan kebakaran sepenuhnya kira-kira 2 pagi," katanya.
Menurutnya, kedua-dua mangsa terlibat hanya mengalami kecederaan ringan.
"Dua mangsa berkenaan kemudiannya dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya.
Sumber: Sinar Harian