Pusat Pemindahan Di Kedah Ditutup Sepenuhnya


ALOR SETAR - Dua pusat pemindahan mangsa banjir kilat terakhir di Sekolah Kebangsaan Haji Abu Bakar dan Sekolah Kebangsaan Titi Gajah, Alor Setar ditutup sepenuhnya hari ini.

Menurut kenyataan Sekretariat Jabatan Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), dua pusat pemindahan yang menempatkan 86 orang daripada 28 keluarga itu ditutup pukul 10 pagi ini.

Kesemua mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing selepas air surut berikutan keadaan cuaca yang baik.

Hujan berterusan sejak 11 Okt lalu menyebabkan beberapa daerah dilanda banjir kilat terutama di Kubang Pasu dan Kota Setar.- Bernama