NAIB Presiden PKR, Rafizi Ramli diminta menghentikan usahanya membohongi rakyat dengan mengeluarkan kenyataan dan fakta yang tidak betul bagi menimbulkan kemarahan rakyat terhadap kerajaan.
Presiden Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM), Muhammad Fadzli Hasan berkata, ini ekoran dakwaan kononnya Felda menggunakan pinjaman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk membiayai pembelian Grand Plaza Serviced Apartments di London, United Kingdom (UK), adalah sama sekali tidak benar.
“Dia (Rafizi) dulu tidak pernah ambil kisah mengenai Felda, daripada Felda yang dahulunya susah sampai jadi senang sekarang, semuanya adalah hasil bantuan kerajaan. Tiba-tiba, hujung-hujung nak dekat pilihan raya ni, baru sibuk nak ambil kisah mengenai Felda.
“Berdasarkan dakwaan dia itu, saya rasakan dia berfikiran separuh masak ketika mengeluarkan kenyataan tersebut. Dia bukannya faham isu Felda, kita lagi faham,” katanya ketika kepada akhbar tempatan semalam..
Sebelum ini, Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad menyatakan bahawa dakwaan yang dibuat oleh Rafizi adalah tidak benar dan rujukan yang digunakan Ahli Parlimen Pandan itu adalah tidak tepat, tetapi sebaliknya pembelian tersebut dibuat menggunakan dana hasil penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FGV) pada 2012.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF), Mohd. Ismail Masri berkata, Rafizi perlu bertanggungjawab terhadap dakwaan yang dikeluarkan itu kerana ia melibatkan kepentingan generasi Felda keseluruhannya dan dakwaan itu mestilah berteraskan kepada bukti kukuh khususnya apabila berkaitan kewangan semasa Felda.
Rafizi yang sedang menghadapi saman kerana memfitnah dan menunggu rayuan mahkamah sebelum ini pernah 'menyerang' Tabung Haji selain meramalkan negara akan bangkrap dua tahun lalu. - Kedahnews.com