KUALA LUMPUR - Ancaman baru apabila seorang lagi militan warga Malaysia, Mohd Amin Baco, 31, yang memiliki kemahiran menghasilkan bom buatan sendiri didakwa bakal mengambil alih kepimpinan Dr Mahmud Ahmad yang terbunuh dalam serangan baru-baru ini.
Lelaki terbabit yang mampu menghasilkan bom Improvised Explosive Device (IED) didakwa berasal dari Tawau, Sabah dan kini dipercayai bersembunyi di Basilan atau Pulau Jolo, Selatan Filipina yang menjadi markas militan di Asia Tenggara.
Malah, maklumat risikan turut mendakwa Amin Baco yang juga pengikut militan Darul Islam Sabah (DIS) dipercayai turut bersembunyi sekitar Marawi yang dikepung tentera Filipina.
Channel News Asia melaporkan, Amin Baco ada menghubungi tentera Filipina bagi proses rundingan penyerahan diri namun tiada maklumat lanjut mengenainya.
Bagaimanapun, laporan itu menyebut bahawa Amin Baco sebagai pemimpin dan komander pengganas militan yang terkenal.
Malah, menerusi DIS, Amin Baco dipercayai memainkan peranan utama dalam menyeludup militan Indonesia ke selatan Filipina bagi menjalani latihan selain kumpulan militan yang bertindak menyeludup senjata ke Indonesia.
Rabu lalu, Timbalan Komander Tentera Filipina Kolonel Romeo Brawner memaklumkan rakyat Malaysia, Dr Mahmud Ahmad iaitu ketua kumpulan Abu Sayyaf (ASG) antara 13 yang terbunuh dalam pertempuran di Marawi.
Bagaimanapun, tiada pengesahan rasmi dibuat berikutan pihaknya masih menunggu pengesahan identiti menerusi asid deoksiribonukleik (DNA).
Tentera Filipina percaya Mohd Amin kini mengetuai saki baki militan di Marawi selepas mengambil alih tampuk pimpinan daripada Dr Mahmud.
Namun Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengesahkan Dr Mahmud yang menyertai kumpulan pengganas Daesh di selatan Filipina masih hidup Rabu lalu.
Ia berdasarkan maklumat diterima daripada Kementerian Pertahanan Filipina selain laporan perisikan di Marawi, Filipina.
Kebimbangan terhadap kewujudan militan warga Malaysia kian menggusarkan susulan penahanan beberapa individu termasuk pelajar sekolah di beberapa lokasi di Kelantan, sejak 10 Oktober lalu yang mempunyai kepakaran membuat bom.
Individu itu turut memiliki bahan letupan dan dipercayai merancang untuk melakukan serangan di lokasi tertentu di negara ini termasuk mensabotaj festival minuman keras yang bakal berlangsung di Klang, Selangor.
Sumber: MyMetro