SRI AMAN- Rakyat perlu memanfaatkan segala peluang dan kemudahan yang disediakan kerajaan, demikian tegas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim.
Menurutnya, rakyat harus memahami dan menerima perubahan dan idea-idea baharu dengan mengubah cara berfikir dan bekerja keras supaya tidak tercicir daripada arus pembangunan.
"Kerajaan sentiasa berusaha membawa kemajuan dan kemudahan kepada rakyat.
"Usaha tersebut dapat dilihat melalui pelbagai program pembangunan yang dilaksanakan kerajaan negeri untuk manfaat dan kesenangan rakyat," katanya pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Wilson Bada, Gran B, Stumbin, di sini, semalam.
Memetik laporan Utusan Borneo, beliau menjelaskan bahawa usaha itu sukar dicapai sekiranya rakyat tidak memanfaatkan segala peluang dan kemudahan pembangunan yang disediakan kerajaan.
"Keadaan ini merugikan semua dan boleh membantutkan kelicinan pelaksanaan projek pembangunan di negeri ini," ujarnya.
Sumber: Sarawakiana