Rakyat Perlu Tolak 'Pengkhianat Negara' - Hadi Awang


PAS mengajak rakyat supaya menolak mana-mana parti dan sesiapa sahaja yang mahu merungkai asas Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, parti atau  mereka yang 'mengusik' perlembangan akan dianggap pengkhianat yang wajjib disingkirkan oleh rakyat sama ada melalui pilihan raya atau tindakan undang-undang yang berani demi menyelamatkan negara dan rakyat.
 .
 "Walaupun adanya kelemahan dalam pengurusan atau bersifat penyelewengan sekalipun, PAS menolak tindakan 'membakar kelambu kerana marahkan nyamuk, " kata Abdul Hadi.

Menurut beliau peristiwa hitam 13 Mei 1969 tidak boleh diulang lagi dan  ruang campur tangan asing yang berlaku di negara lain oleh pihak yang menjemput mereka hendaklah dihalang lebih awal.

"PAS boleh bersabar lebih daripada setengah abad sejak negara mencapai kemerdekaan, walaupun dalam keadaan pasang (naik)
sehingga berjaya memerintah negeri dan pernah menyertai kerajaan pusat, " katanya dalam satu kenyataan yang dipetik daripada Harakahdaily hari ini.

Kata beliau lagi, PAS pernah  'ditendang' keluar daripada kerajaan dan kerajaan negeri yang dipimpinannya jatuh dan tinggal satu kerusi di Parlimen, laksana bertongkat paruh sahaja, namun semangat PAS seluruhnya terus mara bersama Islam.

Ujar Hadi, PAS akan terus mempersembahkan kepada rakyat 'hidangan' penyelesaian Islam dalam mentadbir negara.

"Sila lakukan penilaian terhadap semua kerajaan negeri dan pusat dengan perbandingan yang jujur dan ikhlas, " ujarnya beliau.

 Kata Hadi lagi PAS yakin mampu memimpin negara Malaysia bermasyarakat majmuk ini, berbekalkan kontrak sosial (Perlembagaan Persekutuan Malaysia) yang telah sedia ada sekarang dengan penafsiran Islam yang sebenar tanpa meminggirkan berbagai kaum dan agama yang diwakili di masa perjuangan bersama menuntut kemerdekaan. - Kedahnews.com