Remaja Bekeperluan Khas Disyaki Kena Dera


TELUK INTAN - Seorang pelajar pendidikan khas di sebuah sekolah menengah di sini disyaki didera apabila didapati mengalami kecederaan dan terdapat lebam di mukanya.

Keadaan remaja perempuan berusia 19 tahun itu disedari penduduk kampung Selasa lalu apabila dia ditemui tidak sedarkan diri di rumahnya.

Mangsa yang ditemui dalam keadaan muka dan matanya lebam, dipercayai dipukul segera dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk rawatan.

Difahamkan, ia bukan kejadian pertama kerana pelajar istimewa itu pernah mengalami kecederaan hampir sama, dipercayai akibat dipukul keluarga angkatnya.

Awal Oktober lalu, pelajar berkenaan pernah dimasukkan ke hospital sama selepas dikatakan cedera.

Remaja berkenaan sebelum ini dikatakan seorang yang ceria dan antara pelajar pendidikan khas yang cemerlang, namun sejak kebelakangan ini dia kelihatan  pendiam serta murung.

Exco Kerajaan Negeri, Datuk Rusnah Kassim berkata, pihaknya telah mengarahkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk melihat keadaan mangsa yang kini masih ditempatkan di hospital.

“Siasatan akan dibuat merangkumi pelbagai aspek sebelum tindakan selanjutnya diambil,” katanya kepada pemberita ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar berkata, setakat ini, polis belum menerima laporan berkaitan kes tersebut.

Sumber: Sinar Harian