KUANTAN - Sebuah restoran menjual lemang yang popular di Bentong diarahkan tutup selama dua minggu bermula semalam kerana aspek kebersihan yang kurang memuaskan.
Pengarah Kesihatan Pahang, Dr Sha'ari Ngadiman berkata notis penutupan itu yang dilakukan mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 adalah bagi memberi peluang kepada pemilik restoran untuk melakukan kerja pembersihan sebelum dibenarkan beroperasi semula.
"Notis penutupan sementara dilakukan selepas mengambil kira semua faktor termasuk tempat penyimpanan bahan basah, pembungkusan, kebersihan perkakas dapur dan lantai.
“Kita mendapati suhu peti sejuk yang digunakan tidak bersesuaian dan dikhuatiri boleh menggalakkan pertumbuhan bakteria jika bahan basah atau makanan disimpan di situ.
"Tahap kebersihan lantai di bahagian dapur juga didapati agak kurang memuaskan, menyebabkan kita mengeluarkan notis penutupan sementara itu," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Dr Sha'ari juga menjelaskan walaupun notis penutupan sementara itu adalah bagi tempoh 14 hari, namun pemiliknya boleh memohon untuk membuka semula perniagaannya lebih awal daripada tarikh ditetapkan, selepas selesai melakukan kerja pembersihan
Katanya pemilik hanya perlu menghubungi jabatan kesihatan untuk membolehkan pemeriksaan semula dilakukan dan jika aspek kebersihan mencapai tahap yang ditetapkan, perniagaan itu boleh beroperasi semula.
Beliau juga menegaskan tindakan menutup sementara restoran itu tidak bermaksud mahu menutup perniagaan peniaga, namun dilakukan atas dasar tanggungjawab kerana aspek kebersihan dan keselamatan makanan tidak boleh dikompromikan.
Hari ini, beberapa keping gambar yang menunjukkan notis penutupan yang ditampal di restoran itu tular di laman sosial dan mendapat reaksi daripada netizen kerana restoran itu sememangnya terkenal di Pahang malah menjadi tumpuan warga kota pada hujung minggu dan cuti sekolah.-Bernama