Ribut Khanun Di China Mengganas, Malaysia Bejaga-Jaga


KUALA LUMPUR - Jabatan Meteorologi (Met Malaysia), hari ini mengeluarkan amaran tahap kedua angin kencang dan laut bergelora kesan daripada pergerakan ganas Ribut Khanun ke arah Barat Laut dengan kelajuan 15 kilometer sejam (kmj).

Dalam satu kenyataan, Met Malaysia mengesan kedudukan ribut pada Latitud 20.1 Utara dan Longitud 115.4 Timur, kira-kira 398 km ke Tenggara, Guangzhao, China dan 1,476 km ke Barat Laut Kudat, Sabah.

"Keadaan ini (pergerakan ribut) menyebabkan angin kencang sehingga 60 kmj dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian 4.5 meter di kawasan perairan Sabah (pedalaman, pantai Barat dan Kudat) serta Labuan," katanya.

Angin kencang Barat-Barat Daya dengan kelajuan 50 hingga 60 kmj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter dijangka berterusan hingga Selasa ini terutama di kawasan perairan Sabah dan Labuan.

"Aktiviti perkapalan dan pantai membabitkan perkhidmatan feri dan menangkap ikan adalah berbahaya," katanya.

Untuk perairan Malaysia, amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama dikeluarkan pagi ini, membabitkan kawasan perairan Sarawak (Mukah, Bintulu dan Miri)

Met Malaysia menjelaskan angin kencang Barat-Barat Daya dengan kelajuan 40 hingga 50 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dijangka berterusan sehingga 17 Oktober.

Katanya, keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.

Untuk aktiviti perkapalan, Met Malaysia turut menjangkakan ombak sehingga 4.5 meter dan angin kencang Barat Daya dengan kelajuan 50 hingga 60 kmj di kawasan perairan Reef North, Layang-layang, Labuan dan Palawan sehingga Selasa ini.

Katanya, keadaan angin kencang dan laut bergelora ini berbahaya pada semua aktiviti perkapalan dan pantai, menangkap ikan dan perkhidmatan feri.

"Amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama dijangka berlaku di kawasan perairan Condore dan Reef South sehingga Selasa," katanya.

Sehingga 12.09 tengah malam tadi, tiada amaran cuaca buruk dan hujan lebat dikeluarkan.

Sumber: BH Online