RISM Sokong Bayar Ansuran Rumah Ikut Kemampuan


KUALA LUMPUR - Skim pembiayaan fleksibel yang diperluaskan kepada pemaju perumahan swasta dalam Bajet 2018, akan membolehkan lebih ramai pembeli rumah yang tidak layak untuk pembiayaan, membayar ansuran dalam jumlah yang lebih kecil pada tahun-tahun awal pembelian mereka.

Pengerusi Agensi Pengurusan Hartanah, Penilaian dan Harta Tanah (PMVS)  Pertubuhan Juruukur Diraja Malaysia (RISM) Sr Choy Yue Kwong berkata apabila rumah menjadi semakin tidak mampu dimiliki, ini merupakan berita baik kerana mereka boleh membayar dalam jumlah yang kecil semasa pendapatan rendah dan pembayaran balik boleh meningkat secara beransur-ansur apabila pendapatan bertambah dalam beberapa tahun kemudiannya.

Beliau berkata pengecualian duti setem akan membantu pembeli dalam projek-projek terbengkalai yang telah lama menderita dan juga akan bertindak sebagai insentif untuk syarikat yang mahu menyelamatkan projek tersebut.

Bagaimanapun, Choy merasakan agak aneh bagi kerajaan mengadakan skim pengecualian cukai dalam pasaran sewa dengan menyediakan mekanisme untuk mengimbangi pendapatan sewa yang diperoleh pemilik walaupun hanya 50 peratus dan sehingga RM2,000 daripada cukai pendapatan, katanya.

"Mungkin hasrat kerajaan adalah untuk memastikan pemilik harta tanah yang lebih rendah mempunyai keupayaan untuk menggunakan insentif ini untuk mengekalkan harta mereka.

"Bagaimanapun, ia akan lebih sesuai jika kerajaan memberikan pengecualian cukai kepada penyewa yang merupakan pihak yang memerlukan bantuan dan bukannya memberi ganjaran kepada pemilik," kata Choy.

Mengenai penggubalan Akta Sewaan Rumah Kediaman, beliau berkata ia tepat pada masanya kerana ini akan menambah kejelasan kepada pemilik dan hak penyewa, serta melindungi kedua belah pihak, tetapi tidak hanya meliputi sektor kediaman tetapi juga sektor perdagangan.

Beliau berkata kerajaan memperuntukkan kira-kira RM37.34 bilion untuk infrastruktur logistik berbanding dengan RM8.48 bilion kepada sektor hartanah.

Ini menunjukkan komitmen kerajaan untuk meningkatkan kesalinghubungan antara bandar utama dan bandaraya di Malaysia untuk memacu ekonomi dan sektor tenaga manusia, katanya. - Bernama