ALOR SETAR - Seorang ibu yang baru habis berpantang 45 hari terpaksa meredah air banjir sambil mendukung bayinya adalah antara 13 orang mangsa banjir yang terpaksa berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Orang Ramai Kampung Ulu Mahang, Kulim kelmarin ekoran banjir kilat.
“Ketika banjir kali pertama Ogos lalu, saya mengandung sembilan bulan dan berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan semalam (kelmarin) sekali lagi berpindah selepas berpantang 44 hari,” kata Nur Amirah Khamis, 28.
Nur Amirah berkata, ketika kejadian, dia bersama bayi perempuannya, Nur Balqis Abdul Khairul Azhar yang berusia 45 hari berada di ruang tamu dan mereka bernasib baik apabila suaminya, Abdul Khairul Azhar, 37, kebetulan pulang ke rumah.
“Hujan mulai lebat sekitar jam 3.30 petang dan dua jam selepas berhenti, tiba-tiba rumah dimasuki air secara mendadak menyebabkan kami tidak sempat menyelamatkan barangan.
“Dalam keadaan kelam-kabut itu, saya membawa bayi ke rumah ibu yang tidak ditenggelami air, tidak jauh dari rumah kami,” katanya yang dipetik MyMetro.
Tambah Nur Amirah, Proton Wira yang berada dalam garaj mereka tidak sempat diselamatkan.
Jirannya, Hasnah Hamid, 49, berkata, ketika kejadian dia berada di rumah dan apabila hujan lebat, hatinya mulai resah menyebabkan berulang-alik untuk melihat paras air sungai bagi mempersiapkan diri jika berkalu banjir.
“Kejadian kali ini begitu cepat apabila air naik mendadak menyebabkan saya terus keluar menyelamatkan diri. Walaupun beberapa tahun lalu berlaku banjir, tetapi tidak seteruk tahun ini kerana ketika itu, air banjir tidak masuk ke rumah sedangkan kali ini bercampur lumpur,” ujarnya.
Dalam kejadian jam 5 petang itu, lima keluarga telah dipindahkan membabitkan 13 orang dari Kampung Ulu Mahang berhampiran Sungai Mahang.
Sementara itu, Pegawai Daerah Kulim Mohamad Che Nai berkata, dalam kejadian banjir kilat di Kampung Ulu Mahang, hanya lima keluarga dipindahkan membabitkan 13 mangsa.
Ujar beliau, PPS telah ditutup jam 8.30 pagi semalam selepas semua mangsa dibenarkan pulang kerumah masing-masing.- Kedahnews.com