Saingan Sengit, Kejohanan Bola Sepak 7 Sebelah Di Pendang Semakin Hangat


PENDANG - Sedang skuad Lang Merah kini bertungkus lumus sedaya upaya mengekalkan kejuaraan Piala Malaysia 2017 di peringkat separuh akhir, kehangatan saingan Kejohanan Bola Sepak 7 Sebelah Piala Dato' Suraya Yaacob (Tertutup) semakin memuncak.

Menerima sambutan hangat sejak kejohanan bermula pada 27 September yang lalu, sebanyak 32 pasukan berentap di dalam saingan kumpulan pertama di Padang Bukit Tegor yang menyaksikan pasukan KN Kiara dari Kampung Lubuk Getah muncul juara.

Bermain di padang lecak akibat hujan menambahkan lagi kemeriahan penganjuran kejohanan yang membawa lapan pasukan untuk melayakkan diri ke peringkat Grand Final yang dijangka berlangsung pada Jumaat ini, 20 Oktober, di padang Keda, Paya Lipai.


Lapan pasukan daripada kumpulan pertama yang berjaya melayakkan diri ke peringkat Grand Final selain pasukan juara KN Kiara FC adalah KLC Junior, Pemuda Pendang A, Padli A, Anak Warisan B, Jenun FC A, Gondang Mas dan Pemuda KBP.

Persaingan semakin sengit menyaksikan penyertaan semakin bertambah kepada 40 pasukan dari pelbagai kampung di daerah Pendang menghangatkan suasana kejohanan yang berlangsung di padang Sekolah Kebangsaan Bukit Jenun, di sini.

"Banyak pasukan hadir mendaftar di saingan kumpulan kedua ini. 50 pasukan datang mendaftar, tapi kami hanya mampu buka pendaftaran kepada 40 pasukan sahaja.

"Tapi tak mengapa, lebihan 10 pasukan boleh bertarung di peringkat kumpulan ketiga di padang Kampung Nangka Siam nanti. InsyaAllah," kata wakil penganjur, Mohd Hamdi Che Me ketika ditemui Kedahnews.com di sini, hari ini.


Pasukan Pemuda Pendang B yang muncul juara dan mengetuai lapan pasukan daripada kumpulan kedua ke peringkat Grand Final, diiringi oleh pasukan Suara Muda, Anak Warisan B, Anak Warisan C, Jenun FC B, Budak Kampung FC, Pendang FC dan uTara FC.

Saingan peringkat kumpulan ketiga pula dijadualkan berlangsung pada Rabu, 18 Oktober ini, bertempat di Padang Kampung Nangka Siam di sini, dan dijangka

Mohd Hamdi berkata, kejohanan yang sudah dianjurkan 9 tahun berturut-turut ini berjaya menepati sasaran penganjuran program dan mendapat sambutan yang sangat menggalakkan pada setiap tahun.

"Kita orang Kedah, khususnya anak-anak muda Pendang merapatkan tali silaturrahim sesama kita melalui kejohanan ini. Ia menyatukan kami semua dari pelbagai kampung, tidak mengira kedudukan, perbezaan bangsa, agama dan sebagainya.

"Kalah atau menang, itu perkara kedua. Paling penting, anak-anak muda Pendang menunjukkan semangat muafakat dan persaudaraan yang teguh di sebalik aktiviti sukan ini. Alhamdulillah, kita dapat penuhi matlamat tersebut," katanya ketika ditemui Kedahnews.com, di sini, hari ini.

Sementara itu, Exco Kerajaan Negeri, Dato' Suraya Yaacob yakin bahawa penganjuran program ini dapat mencungkil bakat-bakat baru daripada kalangan anak-anak muda Pendang ke peringkat yang lebih membanggakan.

Suraya yang juga merupakan Exco Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berbangga dengan sikap anak-anak muda Pendang yang menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi di sebalik penganjuran kejohanan tersebut.

"Sudah 9 tahun kita anjurkan kejohanan ini. Setiap kali dianjurkan, di situlah anak-anak muda Pendang berkumpul dalam suasana yang meriah. Selain menyediakan aktiviti yang menyatukan mereka, ukhuwah terjalin lebih erat.

"Walaupun program ini hanya melibatkan anak-anak muda di kampung, saya harap ia mampu memberi galakan untuk melahirkan bakat-bakat baru dari kalangan anak muda Pendang ke peringkat yang lebih tinggi.

"Mungkin anak Pendang juga berpotensi wakili negeri Kedah menyarung jersi Piala Presiden, Lang Merah dan mungkin juga mampu terpilih mewakili Harimau Malaya, saya yakin anak Pendang boleh!," ujarnya ketika dihubungi Kedahnews.com.


Kejohanan tahunan itu menawarkan hadiah mingguan untuk setiap kumpulan berupa wang tunai bernilai RM500 (juara), RM300 (naib juara), serta masing-masing RM150 bagi tempat ketiga dan keempat, selain medal kejohanan.

Bagi peringkat Grand Final pula, juara kejohanan akan membawa pulang Piala Kejuaraan Kejohanan, wang tunai berjumlah RM2,000, jersi bola sepak berserta medal, manakala naib juara pula membawa pulang hadiah Piala Kejohanan, wang tunai RM1,200, jersi dan medal.

Tempat ketiga dan keempat turut membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM500, jersi bola sepak dan medal kejohanan.

Setiap pasukan yang berjaya melayakkan diri ke peringkat Grand Final bakal berentap menunjukkan bakat masing-masing pada Jumat ini, 20 Oktober, bertempat di padang KEDA, di Kampung Paya Lipai, di sini. - Kedahnews.com