Sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia Peringkat Negeri Kedah Dirai Meriah Di Sg Tiang


PENDANG - Masyarakat khususnya ibu bapa diminta supaya memainkan peranan penting dalam usaha memberi didikan terbaik kepada anak masing-masing bagi menyediakan generasi negara maju yang lebih kompeten dan memiliki sahsiah diri yang berakhlak mulia.

Exco Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Suraya Yaacob berkata, anak-anak bagaikan sehelai kain putih dan terpulanglah kepada kedua ibu bapa untuk mencorakkan anak masing-masing ke arah sebuah generasi yang lebih baik pada masa akan datang.

"Saya minta, hargailah amanah Allah ini. Anak-anak merupakan anugerah Tuhan yang tiada ternilai. Dengan penuh tanggungjawab, didiklah anak-anak kita dengan asas agama yang kukuh, bekalkan dengan adab susila budaya bangsa kita yang baik.

"Kita menuju ke arah negara maju yang jauh lebih mencabar, kita patut mendidik anak-anak kita supaya bersedia menempuh cabaran itu dengan baik.

"Merekalah permata kita, permata nusa dan bangsa. Merekalah masa depan negara," katanya kepada Kedahnews.com sejurus selepas menyempurnakan program Hari Kanak-Kanak Sedunia peringkat Negeri Kedah di sini, hari ini.


Selain itu, Suraya dalam ucapannya turut memandang serius terhadap cabaran masa kini yang dilihat mampu menjejaskan perkembangan tumbesaran kanak-kanak di mana perlunya diwujudkan suasana yang kondusif untuk melahirkan generasi yang lebih positif.

Menurut beliau, sikap saling bekerjasama dan muafakat sesama masyarakat perlu kembali menjadi budaya amalan bagi kepentingan bersama.

"Memandangkan pelbagai isu dan ancaman yang boleh menjejaskan ketahanan mental dan fizikal kanak-kanak pada hari ini, suatu persekitaran yang selamat dan kondusif untuk anak-anak kita membesar perlu dipelihara.

"Jika boleh kita mahu budaya 'jaga tepi kain orang' diperkukuhkan kembali dalam masyarakat pada hari ini supaya pepatah 'cubit paha kiri paha kanan pun terasa' dapat diterapkan semula," ujarnya.


Selain itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Industri Asas Tani dan Pembangunan Usahawan Negeri itu berkata, pihak kerajaan sentiasa menghargai golongan kanak-kanak di negara ini.

Kata Suraya, kanak-kanak merupakan aset terpenting negara di mana setiap jabatan dan agensi kerajaan sering memberi keutamaan kepada mereka sejajar dengan aspirasi Dasar Perlindungan Kanak-Kanak Negara.


Suraya di majlis sambutan berkenaan turut meraikan kanak-kanak yang hadir dengan menghadiahkan ungkapan yang penuh bermakna sebagai inspirasi di dalam hidup mereka.

"Sayangku jadilah seumpama pohon mawar. Pohon mawar banyak berduri, berduri bukan untuk melukai tapi untuk memagari harga diri," katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian di majlis yang dihadiri lebih 500 kanak-kanak dari seluruh negeri Kedah.


Sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia peringkat negeri ini turut menyaksikan adik Muhammad Farid Iskandar Mohd Zulkarnain dianugerahkan Pingat Hang Tuah yang membawa pulang sijil penghargaan dan wang tunai bernilai RM1,500.



Adik Muhammad Afiq Haikal Norazizi pula menerima anugerah Tunas Jaya Gemilang kategori golongan kurang upaya (OKU) dan adik Thuraiya Hamdi Mohd Najib Hamdi menerima anugerah Tunas Jaya Gemilang Akademik.

Sementara itu, adik Mohammad Fauzi Kaman Shah diberi anugerah Tunas Jaya Gemilang Sukan dan adik Zainatol Iman Zainol Abidin pula menerima anugerah Tunas Jaya Gemilang Seni dan Kebudayaan yang masing-masing membawa pulang sijil penghargaan serta wang tunai bernilai RM300 setiap seorang.

Sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia peringkat negeri Kedah kali ini buat julung-julung kalinya diadakan di Sungai Tiang di sini bagi tujuan memberi penghormatan dan peluang kepada kanak-kanak yang tinggal berjauhan dengan pusat bandar.



Turut hadir di majlis tersebut adalah Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri, Azmi Abdul Karim dan Pengurus Besar Wilayah, Felda Wilayah Kota Setar, Dato' Muhamad Rizal Abdul Rahim. - Kedahnews.com