Sandiwara Culik Penjawat Awam Terbongkar


Sandiwara seorang penjawat awam yang merancang penculikan dirinya dan isteri di Kampung Binjai, Kota Bharu, terbongkar selepas dia ditahan bersama tiga lelaki, semalam.

Suspek berusia 34 tahun ditahan berasingan bersama tiga lelaki berusia 23 hingga 34 tahun antara jam 11.55 pagi hingga 6.45 petang.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik berkata, tangkapan pertama dilakukan terhadap suspek berusia 26 tahun di Kampung Pauh Dua, Banggu, Bachok, 11.55 pagi.

Katanya, susulan itu tangkapan kedua terhadap seorang lelaki 23 tahun di Kampung Kedai Baru, Banggol, 12.30 tengah hari.

"Manakala, penjawat awam bersama seorang lagi suspek 27 tahun ditahan di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, ketika datang untuk menarik semula laporan polis yang dibuat isterinya.

Menurutnya, sebelum itu isteri penjawat awam terbabit berusia 30 tahun membuat laporan polis selepas dia dan suaminya mendakwa dilarikan dua lelaki bertopeng di Kampung Binjai jam 2.40 pagi.

"Kejadian itu berlaku ketika suri rumah terbabit menaiki kereta mewah bersama suaminya secara tiba-tiba dihalang sebuah kereta jenis Proton Saga yang dinaiki dua lelaki bertopeng.

"Dua lelaki itu kemudian melarikan mangsa dengan dua kereta menghala ke Binjai.

"Suri rumah itu ditinggalkan di tepi jalan di kampung berkenaan sebelum membuat laporan polis," katanya di Kota Bharu, hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, laporan dibuat dipercayai berpunca daripada masalah peribadi dan kejadian itu dirancang suspek.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan mereka direman selama empat hari bermula hari ini hingga Jumaat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan kerana menipu dengan penyamaran.

"Dalam hal ini individu terbabit tidak sepatutnya membuat laporan dengan alasan untuk menyelamatkan diri atau sebaliknya kerana ia menyalahi undang-undang.

"Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat laporan sewenang-wenangnya tanpa memikirkan sebarang risiko," katanya.

Sumber: MyMetro