KUANTAN – Kawasan di sekitar bawah jambatan Tanah Putih di sini yang dikenal pasti menjadi sarang penagihan dadah dibersihkan menerusi program My Beautiful Malaysia melibatkan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dengan komuniti setempat, agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Antara yang menyertai operasi pembersihan lebih tiga jam bermula pukul 9 pagi semalam itu ialah ahli Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Tanah Putih Baru, UMNO Bahagian Kuantan, Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).
Pengerusi Biro Sosial dan Antidadah UMNO Bahagian Kuantan, Hazrin Basri berkata, pihaknya sentiasa menyokong tindakan memerangi gejala penyalahgunaan dadah yang sudah lama menghantui negara.
“Kerjasama semua pihak membersihkan lokasi yang dikenal pasti sebagai sarang penagihan adalah penting untuk mencegah masalah penyalahgunaan dadah di sesuatu kawasan seterusnya menghapuskannya,” katanya ketika berucap merasmikan program berkenaan.
Yang hadir sama Penolong Pengarah AADK negeri, Herlina Hamzah; Ketua Pegawai AADK daerah, Nor Haffiza Ibrahim dan Ikon Antidadah Kuantan, Hamdie Basri.
Hazrin berkata, dalam menangani masalah penyalahgunaan dadah, tumpuan juga harus diberikan terhadap melipatgandakan usaha membanteras kegiatan pengedaran bahan larangan berkenaan.
Katanya, kegiatan pengedaran dadah sukar dibendung kerana pengedar serta tauke dadah masih bebas dan belum diberkas.
“Selain memberikan fokus membersihkan sarang atau memulihkan penagih, pengedar dadah perlu ditangkap untuk diheret ke mahkamah kerana mereka ini sentiasa ada dalam masyarakat.
“Golongan inilah yang merosakkan anak bangsa kita, jika mahu menghapuskan dadah perlu bermula di peringkat akarnya iaitu pengedar,” ujarnya.
Sementara itu, Nor Haffiza berkata, AADK bukan sahaja mengambil pendekatan menyerbu dan penangkap penagih dadah tetapi menggunakan kaedah pencegahan holistik seperti menjalankan pembersihan lokasi penagihan yang memerlukan kerjasama semua pihak.
Menurutnya, pembersihan sarang penagihan dadah perlu dilakukan kerana terdapat penagih yang kembali aktif disebabkan ‘port’ mereka dibiarkan begitu sahaja selepas diserbu.
“Kawasan di bawah Jambatan Tanah Putih adalah salah satu lokasi yang dikenal pasti sebagai ‘port’ penagihan dadah di Tanah Putih dan kita bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk membersihkannya.
“Program seperti ini juga dapat melahirkan semangat kesukarelawan dalam masyarakat untuk membasmi permasalahan dadah di kawasan komuniti,” katanya.
Sumber: Utusan Online