Sarjan Afifah Mengaku Tak Bersalah Terima Rasuah


ALOR SETAR - Seorang anggota polis wanita berpangkat Sarjan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Alor Setar semalam atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah dari individu lelaki, dua tahun lalu.

Tertuduh, Sarjan Afifah Zainal Abidin, 28, yang bertugas sebagai Penolong Pegawai Penyiasat Jenayah Narkotik di Bahagian Siasatan Jabatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar membuat pengakuan tersebut dan minta dibicara sebaik kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Amernudin Ahmad.

Untuk pertuduhan pertama, Afifah didakwa meminta suapan berjumlah RM2,000 melalui panggilan telefon daripada Ahmad Termizi Mohd Izham pada ketika itu berada dalam Bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daerah Kota Setar pada 11.40 pagi, 13 Disember 2015.

Bagi pertuduhan kedua pula, Afifah didakwa menerima wang suapan berjumlah RM2,000 daripada Ahmad Termizi di Restoran Zeefee, Jalan Pegawai, Alor Setar pada 12.10 tengah hari, 15 Disember 2015.

Kesalahan menerima suapan tersebut adalah sebagai dorongan bagi menangguhkan proses pertuduhan Ahmad Termizi di mahkamah berhubung kesalahan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 21 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Sekiranya disabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan.

Prosiding kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Negeri, A Hafiizh Abu Bakar yang meminta wang jaminan dikenakan terhadap tertuduh sebanyak RM10,000.

Peguam bela, Ruzanna Abdul Halim memohon mahkamah mengurangkan wang jaminan kerana tertuduh perlu menanggung ibunya yang sudah uzur serta adik yang masih bersekolah.

"Wang jaminan ini hanyalah supaya tertuduh hadir ke mahkamah dan dia berjanji akan hadir pada tarikh sebutan nanti," jelasnya seperti  yang dipetik dari MyMetro

Mahkamah kemudian menetapkan wang jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin dan tarikh sebutan semula kes pada 13 November ini. -Kedahnews.com