“Saya Bukan Kambing Hitam Boy Iman” – Nassier Wahab


PENYANYI Datuk Nassier Wahab tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak jika benar terdapat penipuan dalam syarikat perumahan yang diterajui oleh Datuk Boy Iman (DBI).

Menurut Nassier, 55, pembabitannya dalam syarikat itu sebagai duta hanyalah untuk membantu masyarakat mendapatkan manfaat daripada projek pembinaan rumah dengan harga murah.

"Niat saya menerima tawaran menjadi duta adalah untuk membantu orang ramai mendapatkan rumah dengan harga murah seperti yang ditawarkan DBI.

"Jika benar ada penipuan dalam hal ini, saya tidak akan membiarkan ia berlaku. Itu janji saya!," katanya kepada mStar Online.

Terdahulu, syarikat DBI Technology didakwa melakukan penipuan jualan rumah dengan harga murah.

Isu tersebut menjadi perbualan netizen sehingga Nassier yang merupakan duta syarikat tersebut turut menerima kecaman kononnya melakukan komplot dalam penipuan itu.


Dalam pada itu, penyanyi lagu Memori Cinta Luka ini terkilan apabila ada suara sumbang yang menganggap dia menjadi 'kambing hitam' dalam syarikat tersebut.

Jelas Nassier, dia menerima tawaran menjadi duta syarikat itu bukan semata-mata kerana wang.

"Saya dah diterangkan mengenai operasi perniagaan sebelum menerima tawaran menjadi duta perumahan itu.

"Malah, saya terima tawaran tersebut kerana sudah menganggap Boy Iman seperti adik saya sendiri, jadi tidak salah saya membantu.

"Kalau saya hanya fikir duit, rasanya tak perlu jadi duta DBI pun saya mampu dapat pendapatan sebanyak itu dengan persembahan nyanyian sahaja," ujarnya.

Bagaimanapun, Nassier menjelaskan dia masih belum mengetahui situasi sebenar mengenai kontroversi itu kerana berada di Makkah bagi mengerjakan ibadah haji.

Malah, dia tidak dapat memberi komen lanjut mengenai isu itu buat masa ini kerana perlu bertemu dengan Boy bagi membincangkan hal berkenaan.

"Semasa kecoh tentang isu ini saya sedang mengerjakan haji dan tidak mengetahui secara lengkap apa yang berlaku.

"Saya baru pulang dari Makkah pada Sabtu lepas, jadi lebih baik jika saya bertemu dengan Boy terlebih dahulu bagi mendapatkan maklumat sebenar.

"Cumanya, semasa mengerjakan ibadah haji, Boy ada mesej meminta saya mendoakan kesejahteraan syarikat dan permasalahan ini dapat diselesaikan dengan baik," katanya.

Sumber: Mstar Online