‘Saya Hanya Tegur Harimau Malaya’


PENGKRITIK bola sepak negara, Khalid Ali (gambar kecil) berkata, beliau tidak memiliki sebarang agenda terhadap Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Sebaliknya, beliau hanya meluahkan pandangan terhadap pasukan negara yang dilihat masih bergelut untuk mempamerkan persembahan positif sejak diambil alih oleh jurulatih kelahiran Portugal, Nelo Vingada, Jun lalu.

Kelmarin, impian skuad Harimau Malaya untuk melepasi pusingan akhir Piala Asia 2019 semakin sukar selepas tewas 0-2 kepada Hong Kong dalam aksi ketiga peringkat kelayakan Kumpulan B di Stadium Hong Kong.

Khalid yang sebelum ini lantang mengkritik persembahan pasukan negara menegaskan, skuad kebangsaan ketandusan pemain-pemain berkualiti tinggi untuk saing pada peringkat antarabangsa yang mana itulah antara salah satu faktor kemerosotan Harimau Malaya.

Justeru, beliau lebih berminat untuk memberikan pandangan kepada Harimau Malaya, bukan mahu mengkritik Tunku Ismail yang dianggap sebagai Presiden FAM terbaik untuk mengembalikan bola sepak kebangsaan di pentas antarabangsa, semata-mata mencari publisiti murahan.

“Ramai orang salah faham, bila saya kritik (pasukan kebangsaan) mereka kata saya kritik Tunku Ismail, sebenarnya itu silap. Kita harus berdepan realiti, prestasi skuad negara tidak boleh disorok. Saya bukan mengkritik barisan kepimpinan FAM.

“Semua tahu mereka bermain di bawah prestasi sebenar. Kekalahan 0-2 kepada Hong Kong bukan mengejutkan kerana sejak aksi pertama (ketika seri 1-1 di Melaka bulan lalu) mereka nampak lebih baik daripada kita.

“Sejak Tunku Ismail dipilih menjadi Presiden FAM, saya akui baginda bakal menjadi pemimpin bola sepak terbaik. Malah, sejak pemilihan baginda, saya memang tidak mengharapkan keajaiban dalam tempoh tiga atau empat tahun dari sekarang.

“Orang ramai bimbang prestasi pasukan kebangsaan yang dilihat langsung tiada perubahan sejak di bawah jurulatih baharu. Semua memberikan sokongan kepada Tunku Ismail tetapi dalam kes pasukan kebangsaan, FAM harus melakukan sesuatu kerana kita perlu merancang pasukan untuk tempoh lima sehingga tujuh tahun akan datang,” katanya ketika dihubungi Kosmo!, semalam.

Dalam perkembangan sama, Khalid yang juga bekas pemain kebangsaan berharap kekalahan Harimau Malaya itu akan membuka mata FAM supaya mempergiatkan pelbagai program untuk mencungkil ramai pemain berkualiti beraksi di pentas antarabangsa.

“Jika anda lihat, ramai pemain muda berkualiti tinggi seperti Mahalli Jasulli, R. Gopinathan dan lain-lain tidak dipilih. Mengapa? Ini kerana mereka tidak aktif bersama pasukan masing-masing. Jika tidak aktif, bagaimana mereka mahu me­nunjukkan prestasi terbaik?

“Kita perlukan program untuk membantu pemain-pemain muda ini kerana mereka adalah masa depan kita. Para pemain harus beraksi sekurang-kurang 300 hari setahun yang mana mereka perlu aktif bermain.

“Jadi, saya berharap kekalahan ini membuka mata FAM. Sejak pemilihan Tunku Ismail, kita nampak perubahan dari segi pentadbiran, kewangan dan fasiliti, tetapi dari sudut program, ia masih belum berjalan,” katanya.

Sumber – Kosmo