Sedih Selangor 'Juara' Kes Denggi


KUALA LUMPUR - Program peduli rakyat anjuran Kerajaan Negeri Sela­ngor dipertikaikan keberkesanannya apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meluahkan rasa tidak senang terhadap bilangan kes denggi yang tinggi di negeri itu.

Jelas Najib, kerajaan negeri perlu lebih tegas untuk menjaga kebersihan dengan mengekang kemunculan tapak-tapak pelupusan sampah haram serta membersihkan sistem perparitan.

Tambahnya, tanggungjawab menjaga kebersihan di Selangor terletak di bawah kerajaan tempatan yang dipantau oleh kerajaan negeri, tetapi disebabkan kegagalan untuk mengawal penyakit itu, pentadbiran Pusat sedia menghulurkan bantuan.

“Kalau tidak jaga kebersihan di bawah tanggungjawab kerajaan negeri, maka tidak hairanlah Se­langor menjadi juara nyamuk aedes dan demam denggi.

“Sebanyak 40,000 kes denggi dilaporkan berlaku di negeri ini, bererti lebih 100 orang sehari rak­yat Selangor kena demam denggi. Ini bukan satu rekod yang boleh kita banggakan,” katanya semasa melancarkan program NBOS My Beautiful Neighbourhood (MyBN) Gotong-Royong 2017 Peringkat Kebangsaan di Saujana Utama, Sungai Buloh dekat sini, semalam.

Yang turut hadir, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar dan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim.

Awal minggu ini, laporan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan mendedahkan Selangor mencatatkan 39,158 kes denggi sejak Januari sehingga awal Oktober, daripada 71,892 kes yang dicatatkan di seluruh negara.

Tambah Perdana Menteri lagi, Kerajaan Pusat tidak teragak-agak untuk menghulurkan bantuan kepada kerajaan negeri demi memastikan kepentingan rakyat dipelihara.

Kata Najib, ini termasuklah de­ngan mengadakan pelbagai kempen gotong-royong menerusi program Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

“MyBN membawa konsep kepemimpinan yang membina. Kita tidak mahu robohkan rumah imam atau bilal, kita mahu robohnya rumah pembiakan nya­muk aedes,” katanya lagi.

Beliau dalam pada itu memuji Noh kerana atas usahanya dapat menawarkan rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) kepada dua keluarga ekoran rumah mereka di pekarangan masjid Lapangan Terbang Antarabangsa Subang biar dirobohkan oleh Kerajaan Negeri Selangor pada 4 Oktober lalu.

Mengulas mengenai program NBOS MyBN, Najib berkata, program itu bertujuan mempromosi sikap tanggungjawab dalam kalang­an penduduk setempat untuk menjaga kebersihan sesebuah kawasan yang dihuni dengan cara bergotong-royong.

Sumber: Utusan Online