PARTI Amanah Negara (PAN) yang disokong DAP didakwa mahu menghancurkan PAS sebelum mereka (Pakatan Harapan) melangkah ke Putrajaya.
Bagaimanapun Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz percaya usaha PAN itu akan terhalang dalam 'pertempuran' tersebut kerana PAS tidak akan membenarkan mereka.
"Selamat bertempurlah.. Van-van mayat DAP sedang menunggu tu.., " kata Nik Abduh Ahli Jawatankuasa PAS Pusat dan bekas Ketua Dewan Pemuda PAS dalam laman Facebooknya semalam.
Imbas kembali, Nik Abduh berkata, sebahagian ahli PAN datang dari IKRAM yang dianggap dedalu dalam sejarah gerakan Islam Malaysia.
Hubung kait bekas ahli PAS dengan ahli IKRAM ini adalah sama, kata Nik Abduh.
"Mereka ini menunggu dan terus menunggu. Itu pungguk merindukan bulan namanya.. 'Last-last' (akhinya), bulan pun serabut tengok muka mereka. Pergi meninggallah...," sindir Nik Abduh yang juga anak Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat, bekas Mursyidul Am PAS.
Kata Nik Abduh lagi mereka ini mendakwa pakar dalam 'fiqh al waqi' al Malizi' dan seni 'tanzil al nushus' di Malaysia. Kedua-dua mereka mendakwa PAS gagal kerana tidak memahami aspirasi rakyat Malaysia yang sebenar.
"Begitulah mereka seiya sekata sehati sejiwa," kata Nik Abduh dalam laman sosial itu yang mendapat perhatian ramai termasuk kutukan keras dipercayai para penyokong PAN. - Kedahnews.com