Selapas Banjir Kilat, Penduduk P.Pinang Berdepan Tanah Runtuh, Rumah Retak


PULAU PINANG - Selepas berdepan masalah banjir kilat yang kerap melanda, penduduk negeri ini khususnya di bahagian pulau kini berdepan ancaman terbaharu apabila kejadian tanah runtuh pula menghantui kehidupan mereka.

Dalam kejadian kelmarin, lapan keluarga di Ladang Hong Seng, Mount Erskine dekat sini diarahkan berpindah apabila berlaku keretakan serius pada rumah mereka dan disahkan tidak selamat untuk diduduki.

Seorang penduduk, S. Vasanthan, 37, berkata, kejadian tanah runtuh di situ mula berlaku kira-kira dua minggu lepas ketika hujan lebat yang menyebabkan negeri ini dilanda banjir kilat.

Katanya, kejadian itu menyebabkan bahagian dapur rumah kakaknya yang terletak berhampiran kaki bukit dihempap runtuhan tanah.

Katanya, kejadian berkenaan merupakan kali pertama berlaku sejak rumah berkenaan diduduki oleh ahli keluarganya sejak lebih 30 tahun lalu.

Lebih mengecewakan kata­nya, Kerajaan DAP Pulau Pinang didakwa tidak menghulurkan bantuan sewajarnya.

“Mereka (wakil kerajaan ne­ge­ri) datang memeriksa bahagian belakang rumah bersama jurutera yang kemudian memaklumkan kepada keluarga saya bahawa keadaan tidak dapat dibaiki lagi kerana tidak ada peralatan dan menyarankan supaya kami berpindah,” katanya di sini hari ini.

Kata Vasanthan, keluarganya berasa kecewa dengan saranan berkenaan yang dianggap jalan keluar yang mudah oleh kerajaan negeri.

“Kami ditawarkan rumah sewa di McCallum yang terletak jauh dari sini sedangkan tiga anak saudara saya bersekolah di sini, manakala kakak pula bekerja menjaga ladang lembu di kawasan ini, jadi tidak wajar mengambil jalan mudah begitu,” katanya.

Menurut Vasanthan, keluarganya akan membaiki kerosakan pada bahagian dapur dengan menggunakan perbelanjaan sendiri yang dianggarkan lebih RM10,000.

“Kami tidak akan keluar dari sini kerana ini merupakan rumah warisan. Dahulu, tidak ada kejadian tanah runtuh, namun sejak kebelakangan ini ia berlaku. Mungkin terlalu banyak pembangunan di sekitar kawa­san ini,” katanya.

Sementara itu, tinjauan mendapati penduduk yang rumah mereka mengalami rekahan te­ruk sudah berpindah.

Sebelum ini, beberapa kejadian tanah runtuh kerap berlaku di sekitar jalan berbukit di kawasan berkenaan, malah pernah dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bungah, Teh Yee Chew.

Ketika banjir kilat melanda dua minggu lalu, kejadian tanah runtuh dan banjir lumpur yang merosakkan kenderaan penduduk turut berlaku di Tanjung Bungah.

Sumber: Utusan Online