Seleweng Dana Awam, Pemimpin Kanan Parti Warisan Sabah Ditahan Reman


KOTA KINABALU  - Pemimpin  kanan Parti Warisan Sabah (Warisan) dan seorang pemilik syarikat pembinaan berumur 52 tahun direman lima hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan berhubung kes penyelewengan dana awam di Sabah.

Perintah dikeluarkan Majistret Stephanie Sherron Abbie selepas membenarkan permohonan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret, di sini, petang semalam.

Sebuah akhbar arus perdana melaporkan, Naib Presiden Warisan, Datuk Peter Anthony, 46, dan ahli perniagaan, Yu Sin Kong, 52, ditahan bagi membantu siasatan penyelewengan dana kerajaan antara tahun 2009 hingga 2015.

Peter dan Sin Kong ditahan di pejabat SPRM semalam bagi membantu siasatan kes tersebut di bawah Seksyen 17a Akta SPRM 2009.

SPRM diwakili Pegawai Penyiasat SPRM, Mohd Faliq Basiruddin. - Kedahnews.com