Seleweng Dana RM1.5 Bilion: Shafie Apdal Ditahan SPRM Selepas Siasatan


Presiden Parti Warisan Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ditahan malam ini selepas lebih tiga jam memberikan keterangan  di  pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Kota Kinabalu pukul 9 malam tadi.

Beliau dijangka dibawa ke mahkamah esok pagi untuk mendapatkan perintah tahanan reman bagi membolehkan siasatan diteruskan berhubung penyelewengan dana Persekutuan untuk projek luar bandar di Sabah..

Penahanan Shafie itu disahkan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM,  Datuk Azam Baki kepada pihak media malam ini. 
.
Terdahulu Mohd. Shafie dipanggil ke pejabat oleh SPRM  di Wisma Sulaman di sini jam 5 petang untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan satu kes penyelwengan dana untuk projek rakyat di Sabah

Beliau sebelum itu berada di Kuala Lumpur dan tiba pada pukul 3.30 petang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

Sebelum ini, banyak pihak telah menjangka Mohd. Shafie akan dipanggil memandangkan beliau adalah bekas Menteri  Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Kemajuan  (KKLW) sepanjang tempoh 2009 hingga 2015..

Siasatan yang dijalankan di bawah Seksyen 17a Akta SPRM 2009 itu setakat ini menyaksikan RM179 juta dibekukan kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan dana RM1.5 bilion yang diseleweng dalam tempoh tujuh tahun itu.

Terdahulu, adiknya Hamid Apdal dibebaskan daripada tahanan reman berhubung kes yang sama dengan ikat jamin RM50,000 dengan RM25,000 dideposit berserta 2 orang penjamin.

Menantu Hamid juga dijangka dibebaskan hari ini, manakala seorang lagi adik Shafie iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lahad Datu daripada UMNO, Datuk Yusof Apdal kini masih ditahan reman.

 SPRM sebelum ini  memberitahu Shafie akan ditahan jika ada bukti tentang kes berkenaan. 

Dilaporkan 350 projek di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah membabitkan dana awam bernilai RM7.5 bilion sedang dipantau SPRM.

Projek berkaitan pembangunan prasarana air, elektrik dan jalan raya itu dilaksanakan dalam tempoh 2009 hingga 2015, dilaksanakan di Kota Kinabalu, Kudat, Kota Belud, Ranau, Beaufort, Keningau, Lahad Datu, Tawau dan Sandakan. Lebih 45 orang disoal siasat SPRM sejak siasatan bermula tiga minggu lalu.

-Kedahnews.com