Semua Enam Pemancing, Tekong Yang Hilang Di Laut Yan, Kedah Ditemui Selamat


ALOR SETAR - Semua enam orang pemancing dan seorang tekong yang dilaporkan hanyut ekoran bot yang mereka naiki mengalami kerosakkan enjin di perairan Yan di sini telah berjaya diselamatkan petang ini.

"Mereka dibawa pulang dengan selamat, terima kasih kepada penyelamat," ucap Ketua UMNO Bahagian Kuala Kedah, Datuk Abdullah Hasnan Kamaruddin ketika dihubungi Kedahnews.com.

Beliau sebelum itu bertemu keluarga pemancing tersebut yang berkumpul di jeti LKIM, Kuala Sala, Kuala Kedah di sini pukul 12.00 tengah hari tadi.

Pemancing itu ditemui kira-kira 30 batu nautika dari Kuala Sala, katanya Abdullah dan mereka dibawa ke hospital untuk pemerikasan lanjut. 

Sementara itu Bernama melaporkan, operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mencari pemancing itu diperluaskan  di perairan barat laut Pulau Bunting, Yan, semalam..

Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Pangkalan Kuala Kedah, Leftenan Maritim Hairil Izhar Nor Azmi berkata kawasan pencarian mangsa diperluaskan kepada 210 batu nautika persegi dari tempat bot dilaporkan hilang.

"Semalam kami mencari mangsa dalam kawasan seluas 48 batu nautika persegi tetapi hari ini ia diperluaskan kepada 210 batu nautika persegi," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Jeti Kuala Sala, Selasa.

Beliau berkata identiti enam mangsa telah diperoleh selepas anggota keluarga mangsa yang hilang datang ke pusat operasi manakala satu lagi identiti mangsa masih belum diketahui.

Mangsa yang hilang ialah tekong bot, Kharulanuar Arsad, 39, dan pemancing yang terlibat ialah Mohamad Ramli, 57, Mohd Salihin Ibrahim, 52, Mohamad Nazri Abdul Hamid, 47, Azmi Raif Mohd Noh dan Ah Onn.

Hairil Izhar berkata tujuh mangsa ini dikhuatiri hilang selepas bot yang dinaiki mereka hanyut dan operasi mencari telah diaktifkan pada 9.43 pagi ini.  - Kedahnews.com