Semua Tempat Rekreasi Kedah Dipasang Papan Tanda Amaran


ALOR SETAR - Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan pengurusan kawasan rekreasi diminta memperbanyakkan pemasangan papan tanda amaran di lokasi berisiko dalam daerah masing-masing.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, ini termasuk kawasan rekreasi seperti air terjun yang dianggap berisiko bagi mengelak tragedi kepala air di Air Terjun Lubuk Semilang, Langkawi yang mengorbankan empat kanak-kanak berusia antara lima hingga 12 tahun, berulang.

“Arahan berhubung perkara ini dikeluarkan kepada semua PBT dan pihak yang selenggara pusat rekreasi, pemasangan papan tanda amaran perlu sebagai peringatan kepada pengunjung, termasuk  kawasan pantai dan hutan rekreasi,” katanya, selepas melancarkan program My Beutiful Neighbourhood Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS), di Flat Seri Gemilang.

Hadir sama, Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Mohd Zohdi Saad.

Ahmad Bashah berkata, semua PBT perlu bertindak segera sebagai langkah keselamatan kepada pengunjung kerana kita tidak dapat menjangkakan bila tragedi akan berlaku.

“Semua pihak perlu mainkan peranan masing-masing termasuk ejen pelancongan dan keluarga. Syarikat pelancongan yang bawa pelancong harus beri taklimat aspek keselamatan ketika berkunjung ke kawasan berisiko, keluarga pula perlu peka dan awasi anak-anak ketika riadah,” katanya.

Beliau turut mengucapkan takziah kepada keluarga terlibat dan berharap mereka tabah dengan dugaan itu.

Mengulas mengenai banjir kilat yang kembali berulang, Ahmad Bashah berkata, kerajaan negeri akan menyediakan peruntukan bagi menaik taraf sistem perparitan di kawasan perumahan lama, yang dikenal pasti antara punca banjir kilat.

“Sebahagian parit cetek dan sempit, beberapa sungai juga perlu diperdalamkan, kita perlu naik taraf secara berperingkat. Saya sudah arahkan agensi terlibat buat tinjauan dan serah laporan supaya kita dapat mohon dana daripada kerajaan Pusat,” katanya.

Menurutnya, pihaknya turut mencadangkan agar dibina kolam takungan baru untuk menampung aliran air dari hulu, sekiranya berlaku hujan lebat berterusan.

“Kelulusan merancang dalam bandaraya juga perlu lebih teliti, selain projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) perlu disiapkan segera,” katanya.
 
Sumber: Sinar Harian